Sorting by

×

Bumbung 9 rumah di Kampung Pulai diterbangkan puting beliung

Masa Membaca:1 Minit, 55 Saat

SERKAM 12 Mac. – “Jiran kata kejadian itu berlaku umpama puting beliung dengan sekelip mata meranapkan beberapa bumbung rumah dan sekolah tahfiz di kawasan ini,” kata Zakaria Hitam, 54, mengenai ribut yang melanda rumah adiknya di Kampung Pulai, petang semalam.

Menurutnya, ketika kejadian adiknya Leka, 53, berada di rumah bersama dua anak saudaranya menunggu azan Asar selesai dalam keadaan hujan lebat.

“Adik saya sedang bersiap untuk bersolat tiba-tiba angin kencang datang dan menterbalikkan bumbung rumahnya.

“Kejadian berlaku sekitar lima minit…mujur dia sempat berlindung di bahagian dapur rumahnya,” katanya dihubungi Melaka Hari Ini, petang tadi.

 

PENDUDUK kampung melihat keadaan rumah jiran mereka yang mengalami kerosakan akibat dilanda puting beliung di Kampung Pulai, Serkam.

Zakaria berkata, kira-kira 60 peratus bumbung rumah adiknya rosak diterbangkan puting beliung itu sehinggakan ada serpihan bumbung rumah menimpa dan merosakkan bumbung jiran yang lain.

“Angin kencang turut menerbangkan sebahagian bumbung sekolah tahfiz berdekatan dan kira-kira empat bumbung rumah telah diterbangkan angin.

“Alhamdulillah, syukur tiada seorang pun yang tercedera…, kami selamat dan kini berlindung di rumah adik-beradik dan saudara lain yang berdekatan di kawasan ini, “katanya.

KEADAAN sebuah rumah penduduk yang dilanda puting beliung di Kampung Pulai, Serkam, petang semalam.

Jirannya, Nur Muhammad Azim Abd. Manap, 17, berkata, kira-kira 30 peratus bumbung rumahnya rosak akibat puting beliung itu, namun ahli keluarganya terselamat daripada kejadian itu.

“Walaupun ketika kejadian ada bumbung rumah hampir menimpa anak saudara saya yang bermain di ruang tamu rumah, namun mereka berjaya diselamatkan.

“Puting beliung itu berlaku sekejap saja dalam beberapa minit dan mungkin kawasan ini berdekatan sawah padi menjadi punca pada fenomena itu.

“Alhamdulillah saya bersyukur kerana seluruh penduduk terjejas kesemuanya selamat dalam kejadian ini,” katanya.

PENGARAH APM Melaka Lt. Kol (PA) Cuthbert John Martin Quadra (dua kiri) meninjau pemasangan khemah di PPS yang dibuka bagi menempatkan keluarga yang terjejas akibat puting beliung semalam.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Jasin, Mispani Hamdan berkata, pihaknya menerima sembilan laporan berhubung puting beliung melanda dan merosakkan beberapa kediaman di Kampung Pulai, semalam.

Katanya, sebuah Pusat Perlindungan Sementara (PPS) turut dibuka bagi menempatkan beberapa keluarga terjejas di kawasan itu.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1146
Kongsi :
Previous post Tubuh koperasi bantu golongan terkesan
Next post Tipu pelaburan ‘Like Share’, pengarah syarikat dipenjara setahun
Ubah saiz-+=