Buli: ‘Task Force’ tumpu sekolah berasrama

Masa Membaca:1 Minit, 41 Saat

DUYONG 25 Julai – Pasukan petugas atau ‘task force’ bagi menangani masalah sosial termasuk isu berkaitan buli dalam kalangan pelajar akan lebih tertumpu di sekolah berasrama di negeri ini.

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman berkata langkah itu bagi memantau dan mengawasi pelajar di sekolah-sekolah yang terlibat dengan isu terbabit.

Katanya, ‘task force’ tersebut melibatkan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Melaka dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan ia sudah ditubuhkan sejak tiga tahun lalu.

“Kita di Melaka sudah menubuhkan ‘task force’ atasi isu buli ini sejak tiga tahun lalu dan Melaka merupakan antara negeri terawal yang menubuhkan pasukan petugas ini.

“Dianggotai pegawai JPN, PDRM dan saya sendiri akan turun ke sekolah-sekolah yang didapati mempunyai kes buli atau jenayah melibatkan pelajar.

“Dan pada tahun ini tumpuan ‘task force’ ini kita lebih tumpu kepada sekolah-sekolah berasrama yang didapati mempunyai kes buli,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Majlis Penyerahan Sumbangan Penajaan TNB dan Penyerahan Jersi Pasukan Hoki Sekolah Sukan Negeri (SSN) SMK Seri Kota di sekolah tersebut di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Rahmad berkata keberkesanan task force sejak ditubuhkan tiga tahun lalu memberi impak positif.

“Dan setakat ini keberkesanan pasukan itu sejak diwujudkan mampu mengurangkan kes buli di beberapa sekolah yang terbabit.

“Dalam tempoh tiga tahun ini, keberkesanan setiap kali kita pasukan ini turun padang dan mencari kaedah terbaik untuk tangani isu buli ini dapat diatasi.
“Dalam tempoh enam bulan ke setahun kes terbabit tidak berlaku lagi,” katanya.

Tambahnya, beliau akan meminta pasukan petugas terbabit mengumpul data dan maklumat pelajar yang menerima rawatan psikiatri dalam negeri ini dengan segera.

Langkah itu berikutan terdapat dua kes yang berlaku pada tahun ini melibatkan pelajar yang sedang menerima rawatan psikiatri.

“Kita akan sering menghantar pasukan petugas ini ke sekolah-sekolah terbabit isu buli dan meminta pasukan berkenaan untuk segerakan mengumpul maklumat pelajar-pelajar sekolah yang menerima rawatan psikiatri bagi membendung jenayah buli dan jenayah lain dari berlaku melibatkan pelajar,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1383
Kongsi :
Previous post JBPM terima 1,595 panggilan kecemasan lemas dalam tempoh lima tahun
Next post Kuala Linggi dan Nyalas perlukan balai bomba
Ubah saiz-+=