Sorting by

×

Buku ‘Melaka: The Guide’ ditarik serta-merta

Masa Membaca:1 Minit, 25 Saat

TELOK MAS 14 Julai – Kerajaan Negeri menerusi Tourism Melaka secara serta-merta sudah menarik balik edaran buku Melaka: The Guide yang didakwa mengandungi kesilapan fakta sejarah.

Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman berkata, pembetulan berhubung ralat pada fakta yang terkandung didalam buku itu akan diperhalusi dan diperbetulkan.

Jelas beliau, buku tersebut bukanlah baru diterbitkan pada era pentadbiran sekarang, sebaliknya ia telah dikeluarkan sejak tahun 2013.

“Kita sudah tarik balik untuk edaran serta-merta sejurus menerima maklumat (terdapat ralat) dan Tourism Melaka juga sudah mengeluarkan kenyataan berhubung perkara ini.

“Kita mengatakan itu adalah satu ralat dan untuk makluman juga buku itu bukan diterbitkan sewaktu saya sebagai Exco Pelancongan atau Ketua Menteri sekarang.

“Ini adalah cetakan ataupun salinan yang terdahulu iaitu pada tahun 2013,” katanya pada sidang media Program Gotong-Royong Perdana dan Pencegahan Anti-Rasuah Bersama Komuniti Telok Mas di Taman Alai Perdana, hari ini.

Menurut Abdul Razak, buku Melaka: The Guide itu telah mendapat kelulusan dan diterbitkan oleh Exco Pelancongan Negeri terdahulu iaitu sewaktu tahun 2013.

“Ini adalah (buku) ‘printing’ ataupun salinan terdahulu iaitu 2013 yang diluluskan oleh Exco Pelancongan Negeri sewaktu itu, cuma kita ada buat sedikit penambahan dari segi program Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024) di dalamnya.

“Ralatnya, kita tidak lihat (kesilapan) fakta tersebut, namun atas dasar tanggungjawab kita ambil dan akan betulkan kembali fakta itu,” katanya.

Terdahulu, Tourism Melaka dalam satu kenyataan meluahkan rasa kesal dengan kecuaian yang berlaku dan memohon maaf atas kesalahan maklumat yang diterbitkan.

Malah turut dimaklumkan, buku panduan itu ditarik semula di semua Pusat Penerangan Pelancong (TIC) termasuk mengeluarkan pautan e-book dalam platform media elektronik dan media sosial.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

5612
Kongsi :
Previous post Banteras rasuah sambil gotong-royong
Next post Belajar dari warisan sejarah Melaka-Belanda
Ubah saiz-+=