
BUKTIKAN ANDA JUGA BOLEH BERJAYA – AB RAUF
TANJUNG BIDARA 27 April – Percaya kepada diri sendiri, bersemangat untuk terus belajar, menerima nasihat dan sentiasa berusaha memperbaiki diri adalah antara perkara perlu diberikan perhatian oleh orang muda yang mahu berjaya dalam kehidupan, kata Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh.
Perkara itu dikongsikan Ketua Menteri, ketika berinteraksi secara langsung bersama 200 anak muda yang mengambil bahagian dalam Program Kem A-Plus YPM.
Jelas beliau setiap individu memiliki potensi besar untuk menjadi pemimpin masa hadapan dan tidak mustahil ada dalam peserta kem berkenaan bakal bergelar menteri Pendidikan atau Ketua Menteri suatu hari nanti.
“Jika orang lain boleh berjaya, mengapa tidak kita. Jika mereka boleh mencipta sejarah, mengapa tidak kita mencipta Legasi kita sendiri, jangan tunggu waktu yang sempurna untuk bermula tetapi mulakan
dari sekarang, dari sini dan dari diri anda sendiri.
“Suka saya berpesan kepada semua peserta, manfaatkan setiap peluang sepanjang kemi ni, jangan malu untuk bertanya, Jangan segan untuk mencuba dan jangan takut untuk melangkah. Pemimpin yang berjaya adalah mereka yang berani berubah dan tidak berhenti belajar,” kata Ketua Menteri.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tanjung Bidara berkata demikian ketika berucap menyempurnakan Majlis Perasmian Penutup Program Kem A-Plus YPM di Villa D’Acqua Kampung Pulau, Masjid Tanah, di sini, hari ini.
Hadir sama pada Majlis itu Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri, merangkap Adun Ayer Limau, Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer, Timbalan Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri merangkap Adun Kuala Linggi, Datuk Rosli Abdullah serta Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Pelajaran MARA Faisalludin Mohamat Yusuff.
Yang turut hadir Pengarah Pendidikan, Jabatan Pendidikan Negeri Melaka, Mahfudzah Mohamed Noor, Pengarah MARA Negeri Melaka, Nurul Azmi Johari dan Pegawai Pendidikan Daerah Alor Gajah Ab Malek Kasim.
Terdahulu program tiga hari dua malam itu melibatkan 200 anak muda yang terdiri daripada 100 lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang kini bergelar Skuad YPM serta 100 calon SPM dari sekolah sekitar daerah Alor Gajah.
Ab Rauf berharap program dianjurkan itu menjadi suntikan semangat dan sumber inspirasi untuk peserta untuk melangkah lebih jauh sebagai pelapis kepimpinan masa hadapan.
“Ambil semangat Bijak Laksana Tuah dan Berani Laksana Jebat dalam menggarap segenap dimensi
peluang untuk memajukan diri hingga kepuncak kejayaan.
“Besar harapan saya agar para pelajar Skuad YPM serta SAHABAT YPM terus berganding bahu dalam menyokong program kemasyarakatan, khidmat sosial dan program-program pendidikan anjuran YPM, khususnya di Negeri Melaka,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.