Sorting by

×

BUKTI KETULUSAN CINTA KEPADA RASULULLAH SAW

Masa Membaca:1 Minit, 50 Saat

SERI BENDAHARA 14 Oktober – Junjungan besar  Nabi Muhammad SAW adalah ‘qudwah hasanah’ atau suri teladan yang sebenar untuk dicontohi dalam menegakkan kehidupan sebagai seorang muslim yang bertaqwa, kata Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh.

Ketua Menteri berkata, penganjuran majlis ilmu Majlis Berselawat Seri Bendahara Tahun 2024 Malam Cinta Rasul bertujuan mengajak semua lapisan masyarakat Islam untuk bersama-sama memperingati pengorbanan Baginda Rasulullah SAW dalam memperjuangkan Agama Islam.

Img 20241014 004315 111
KEMERIAHAN suasana sekitar Majlis Berselawat Seri Bendahara Tahun 2024 ‘Malam Cinta Rasul’ di Dataran Seri Bendahara, Kediaman Rasmi Ketua Menteri Melaka, Seri Bendahara Ayer Keroh. Foto Iqmal Haqim Rosman

“Sungguhpun, sebahagian besar daripada kita sememangnya sibuk meniti pelbagai hal dunia, namun, saya amat berbangga apabila melihat pada malam ini jelas membuktikan bahawa rakyat Melaka tetap mengutamakan urusan ukhrawi bagi memperkasa rohani.

“Besar harapan saya agar program-program seperti ini menjadi satu penghayatan bagi membuktikan ketulusan cinta kita terhadap Rasulullah SAW.

“Saya berharap semoga dengan penganjuran majlis ini, Negeri Melaka dan rakyat secara keseluruhannya memperoleh ganjaran serta keredaan berpanjangan daripada Allah SWT,” kata Ketua Menteri.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Berselawat Seri Bendahara Tahun 2024 Malam Cinta Rasul yang diadakan di Dataran Seri Bendahara di sini malam tadi.

Img 20241014 004558 403
KETIBAAN Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh disambut umah Islam yang hadir. Foto Iqmal Haqim Rosman

Hadir sama, Ketua Menteri Ke-12, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali; Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Datuk Wira Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Azhar Arshad dan Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin,  barisan Exco, Timbalan Exco serta kenamaan lain.

Majlis berselawat yang diadakan di kediaman rasmi Ketua Menteri Melaka itu turut menampilkan penceramah Datuk Badli Shah, Dr. Habib Musthofa dan Ustaz Muhammad Hatta.

Ab Rauf,  turut merakamkan ucapan terima kasih kepada jabatan, badan bukan kerajaan (NGO) serta semua pihak terbabit secara langsung atau tidak langsung dalam menjayakan majlis ilmu itu.

“Selain itu saya turut merakamkan ribuan terima kasih kepada semua hadirin yang turut hadir memeriahkan Majlis pada malam yang penuh barakah ini,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

202
Kongsi :
Previous post 5,000 BERSELAWAT DI SERI BENDAHARA
Next post RASAI PENGALAMAN BERMALAM DI KOMPLEKS HANG TUAH CENTRE
Ubah saiz-+=