Sorting by

×

Bukti kerajaan prihatin, martabat peranan penjawat awam

Masa Membaca:2 Minit, 48 Saat

AYER KEROH 16 Ogos – Rata-rata penjawat awam negeri ini menzahirkan rasa syukur dan teruja dengan pelarasan gaji baharu diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, pada Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam (MAPPA) ke-19 ‘Perkhidmatan Awam MADANI’ di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) hari ini.

Bagi penjawat awam yang juga Pegawai Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Melaka, Ahmad Safwan Abd Aziz, 37, berkata, pengumuman kenaikan gaji itu adalah hadiah istimewa buat penjawat awam yang tidak jemu menyumbang tenaga serta kepakaran.

Katanya, ia bukan sahaja perkhabaran yang menggembirakan malah memberikan motivasi untuk penjawat awam meningkatkan mutu perkhidmatan agar lebih cemerlang.

“Sejujurnya kenaikan 15 peratus diumumkan kan amat membantu penjawat awam dalam mendepani masalah kos sara hidup terutamanya buat mereka yang terpaksa berulang alik dalam jarak yang jauh saban hari.

“Malah inisiatif ini juga secara tidak langsung dapat menutup ruang atau mengekang daripada berlakunya salah laku terutamanya membabitkan rasuah,” katanya.

Whatsapp Image 2024 08 16 At 2.33.31 Pm

AHMAD Safwan.

Nada sama turut disuarakan oleh Ketua Jururawat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Fazilawati Mat Rafar apabila menerima kenaikan gaji sebanyak 25 peratus.

“Ini adalah berita yang amat dinanti-nantikan sejak sekian lama, alhamdulillah Perdana Menteri prihatin kepada kami penjawat awam.

“Kenaikan ini agak tinggi dan boleh katakan ianya setimpal dengan beban kerja kami. Ini secara tidak langsung menyuntik semangat kami untuk memberikan perkhidmatan yang lebih baik,” katanya yang sudah berkhidmat sebagai penjawat awam selama 22 tahun.

Whatsapp Image 2024 08 16 At 3.18.04 Pm
MOHD Faizal.

Sementara itu, Pembantu Awam KKM, Mohd Faizal Abu Hasan, 39, meluahkan rasa syukur dengan inisiatif yang diumumkan dan menyifatkan sebagai kenaikan yang paling tertinggi selepas berkhidmat selama 14 tahun.

Menurutnya, sebagai golongan pelaksana pelarasan itu wajar dan dianggap sebagai tanda menghargai penjawat awam yang selama ini menjadi tulang belakang pentadbiran negara.

“Hanya perkataan syukur dan terima kasih saya mampu ucapkan kepada Perdana Menteri atas pengumuman dibuat, gaji baharu ini banyak membantu saya dan keluarga untuk meneruskan kehidupan.

“Pelarasan ini membuktikan keprihatinan kerajaan kepada penjawat awam, sekali gus meningkatkan semangat dan mutu perkhidmatan kami untuk memastikan negara terus kekal maju ke hadapan,” katanya.

Pada masa sama, Penerbit Rancangan Radio Televisyen Malaysia (RTM), Nur Shafinaz Sari, 35, berkata, pelarasan itu sekali gus memberi peluang penjawat awam meningkatkan taraf hidup mereka.

Whatsapp Image 2024 08 16 At 3.18.19 Pm
NUR Shafinaz.

Nur Shafinaz berharap, selepas ini semua penjawat awam melaksanakan tugas dengan penuh integriti, berdisiplin dan berdedikasi dalam menjunjung amanah dipertanggungjawabkan.

“Sebagai penjawat awam kita perlu buktikan jawatan disandang ini merupakan satu amanah dalam membantu membina sebuah negara berdaya maju dan madani.

“Terima kasih buat Perdana Menteri kerana ia satu berita yang cukup menggembirakan buat kami semua,” katanya.

Whatsapp Image 2024 08 16 At 3.19.04 Pm
RUZIAH.

Sementara itu, Pegawai Pelancongan Tourism Malaysia, Ruziah Seman, 40, berkata, kenaikan gaji merupakan perkara amat dinanti-nantikan selepas berkhidmat hampir 16 sebagai golongan pelaksana.

Ruziah berkata, kenaikan itu jelas menunjukkan keprihatinan kerajaan terhadap penjawat awam, sekali gus memberi suntikan motivasi untuk berkhidmat dengan lebih cemerlang.

“Alhamdulillah, kami begitu bersyukur dengan pengumuman ini yang menandakan kerajaan begitu menyelami denyut nadi penjawat awam. Ini merupakan berita gembira buat saya dan rakan sekerja.

“Terima kasih buat Perdana Menteri atas keprihatinan yang diberikan dan sedikit sebanyak dapat membantu kami menstabilkan kewangan dalam cabaran kenaikan kos harga barang,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

143
Kongsi :
Previous post Geran RM15,000 untuk usahawan MAIM terpilih
Next post Suspek bunuh Cikgu Istiqomah dituduh Isnin
Ubah saiz-+=