Bukit Aman umum pertukaran 61 pegawai kanan termasuk tujuh pengarah jabatan
KUALA LUMPUR 1 Jun – Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengumumkan pertukaran 61 pegawai kanan termasuk tujuh pengarah jabatan di Bukit Aman berkuat kuasa 1 Julai ini.
Superintendan Komunikasi Korporat Urusetia Ketua Polis Negara (KPN), Superintendan Skandaguru Anandan dalam satu kenyataannya malam tadi berkata, mendahului pertukaran tersebut adalah Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Datuk Zamri Yahya yang akan bertukar sebagai Pengarah Cawangan Khas.
Jawatan beliau pula akan digantikan oleh Timbalan Pengarah Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (Gerakan), Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Keselamatan Awam (JKDNKA), Datuk Azri Ahmad.
“Manakala Pengarah Jabatan Pengurusan Datuk Ramli Din pula bertukar sebagai Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK),” katanya dalam kenyataannya itu.
Beliau berkata, penyandang jawatan JPJKK Datuk Zainal Abidin Kasim pula bertukar kepada Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA).
“Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Datuk Mohd Kamarudin Md Din pula ditukarkan kepada pengarah jabatan sama.
“Komisioner Polis (CP) Pentadbiran Jabatan Pengurusan Datuk Zaini Jass bertukar sebagai pengarah di jabatan yang sama,” tambahnya.
Katanya, Ketua Polis Pahang Datuk Seri Abd Jalil Hassan pula dilantik sebagai Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) bagi mengisi kekosongan ditinggalkan Datuk Huzir Mohamed yang bersara wajib pada awal Mei lalu.
“Sementara itu, Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Datuk Azisman Alias pula dinaikkan pangkat dengan memangku pangkat Komisioner Polis dengan menyandang jawatan sama,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.