Bukan ‘siren’ tapi ribut

Masa Membaca:1 Minit, 28 Saat

TANJUNG BIDARA 10 Sept – “Mulanya saya sangka siren kereta peronda polis tetapi rupa-rupanya bunyi tiupan angin ribut yang seakan mendayu-dayu,” kata pengusaha cili padi, Mohamad Idris, 33.

Katanya, dalam kejadian jam 10 malam tadi, dia dan isteri serta tiga anak berusia satu hingga lima tahun sedang menonton televisyen dan tiba-tiba terdengar bunyi itu.

“Dalam sekelip mata ia (tiupan angin) berubah menjadi bunyi yang menakutkan apabila enam keping bumbung adex rumah terkopak sebelum diterbangkan angin,” katanya.

MOHAMAD menyatakan sesuatu kepada Kamarul Hafizi yang menjalankan kerja pembaikan bumbung kediamannya yang diterbangkan angin kencang di Kampung Balik Batu, Tanjung Bidara. Foto – DIN AHMAD.

Mohamad berkata, apabila angin semakin kuat menghampiri kediamannya, dia dan isteri memeluk tiga anak yang ketakutan mendengar bunyi yang agak menggerunkan.

“Hujan lebat menyebabkan air masuk ke ruang tamu dan saya terpaksa menutup bahagian yang ditimpa hujan dengan kanvas bagi mengelakkan perabot dan peralatan elektrik rosak,” katanya ditemui di rumahnya di Kampung Balik Batu, Tanjung Bidara, di sini hari ini.

Mohamad bernasib baik kerana hujan reda hanya dalam tempoh 10 minit selepas angin kencang menerbangkan bumbung.

Katanya, ia adalah kejadian pertama dialaminya sejak menghuni rumah pusaka tinggalan ibu bapanya kira-kira 10 tahun lalu.

Katanya sebelum ini dia hanya menyaksikan bumbung rumah penduduk kampung berkenaan diterbangkan angin kencang dari laut yang hanya kira-kira 0.5 kilometer dari kediamannya.

“Kali ini Allah uji saya tetapi saya tetap bersyukur kerana ribut hanya menyebabkan enam keping bumbung diterbangkan angin berbanding keadaan rumah penduduk lain sebelum ini yang ada antaranya keseluruhannya ranap diterbangkan angin kencang,” katanya.

Sehubungan itu, dia terpaksa meminta bantuan rakannya, Kamarul Hafizi Ayob, 30, untuk memasang zink sementara sebelum kerja pembaikan sepenuhnya dilakukan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

667
Kongsi :
Previous post Inisiatif ‘walk in’ warganegara dan bukan warganegara 18 tahun ke atas di PPV Melaka
Next post Insiden pokok tumbang: Kenapa MBMB dipersalahkan?
Ubah saiz-+=