![6156797050465929274](https://www.melakahariini.my/wp-content/uploads/2025/02/6156797050465929274.jpg?v=1739517374)
‘BUKAN SEKADAR TURUT SERTA’, ATLET PARA SUKMA MELAKA BAWA PULANG PINGAT
BANDARAYA MELAKA 14 Februari – Penyertaan atlet Para Melaka pada temasya Para Sukan Malaysia (SUKMA) Sarawak 2024 yang lalu dianggap sebagai ‘bukan sekadar turut serta’.
Exco Belia, Sukan dan NGO negeri, Datuk VP Shanmugam berkata, daripada 60 atlet mewakili Melaka ke temasya tersebut, seramai daripada mereka berjaya pulang membawa pingat.
Katanya, angka itu membuktikan atlet Para Melaka memasuki gelanggang Para SUKMA 2024 dengan penuh kesungguhan dan semangat juang yang tinggi demi menyempurnakan misi mengharumkan nama negeri ini di pentas nasional.
“Sepanjang Para SUKMA Sarawak 2024 berlangsung, saya sendiri merasai dan melihat bagaimana kontinjen Melaka terutama atlet-atlet para ini berhempas pulas mendapatkan pingat.
“Pencapaian Kontinjen Para SUKMA Negeri Melaka juga adalah hasil dorongan dan sokongan pelbagai pihak khusus jabatan serta agensi Kerajaan Negeri selain pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
“Kita juga tidak melupakan kerjasama dan bantuan rakan strategik seperti Jabatan Belia dan Sukan (JBS) Melaka; Majlis Sukan Negeri Melaka (MSN) Melaka, Bahagian Khidmat Musaadah dan Pembangunan Belia, Jabatan Ketua Menteri Melaka, Jabatan Pendidikan Negeri Melaka, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Penjara Malaysia Negeri Melaka, Persatuan Sukan dan Rekreasi Orang Kurang Upaya Negeri Melaka serta Kelab Sukan Rekreasi Kembara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyampaian Insentif Kontinjen Para SUKMA Negeri Melaka yang disempurnakan oleh Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh di sebuah hotel, di sini, hari ini.
Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Azhar Arshad; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin serta Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman.
Mengulas lanjut, Shanmugam menaruh yakin menerusi pelbagai inisiatif akan diumumkan Kerajaan Negeri, hasrat untuk memastikan kecemerlangan dan pembangunan sukan membabitkan golongan Orang Kurang Upaya (OKU) secara menyeluruh sehingga ke akar umbi mampu dicapai.
“Penghargaan seperti insentif kepada penyumbang pingat adalah tanda sokongan dan pemangkin semangat buat atlet yang tidak berjaya, jangan mudah berputus asa dan tingkatkan usaha pada akan datang,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.