Sorting by

×

Bukan penculikan tapi…

Masa Membaca:1 Minit, 4 Saat

BANDAR MELAKA 5 Nov. – Penularan satu klip video kononnya dikaitkan dengan kes penculikan bayi di Pusat Transformasi Bandar (UTC) di Jalan Hang Tuah di sini, semalam sebenarnya berpunca daripada perebutan keluarga.

Difahamkan, dalam kejadian jam 3 petang itu, bayi perempuan berusia lima bulan itu dilarikan ibunya sendiri berusia 17 tahun dan bukannya diculik.

Menurut sumber di lokasi kejadian, ketika itu ibu angkat bayi berkenaan datang ke UTC untuk menguruskan kad pengenalan pasport bayi berkenaan.

“Bagaimanapun, tiba-tiba datang seorang lelaki merampas bayi berkenaan daripada ibu angkatnya yang sedang hamil sebelum menuju ke tempat letak motosikal.

“Ibu kandung bayi berkenaan yang sedang menunggu di motosikal kemudian membonceng motosikal ditunggang lelaki berkenaan bersama anaknya,” katanya di sini hari ini.

Terdahulu, tular satu rakaman klip video sistem kawalan kamera litar tertutup (CCTV) berdurasi 42 saat mengenai kejadian terbabit yang dikaitkan dengan penculikan di UTC.

Mengulas lanjut sumber berkata, kejadian itu dipercayai berlaku disebabkan salah faham antara keluarga angkat dan ibu kandung bayi berkenaan yang saling mengenali.

Sementara itu, Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Superintendan Yusharifuddin Mohd. Yusop mengesahkan menerima laporan polis berhubung kejadian.

“Kes bukan diklasifikasikan sebagai penculikan sebaliknya perebutan anak antara ibu kandung dan ibu angkat.

“Siasatan lanjut masih dijalankan dan kita berharap orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan,” katanya.

Views:

768
Kongsi :
Previous post Premis kosong bantu belia mulakan perniagaan – Exco Belia
Next post Pejabat MHI disanitasi
Ubah saiz-+=