Sorting by

×

Bukan biadab, hanya salah faham – Exco

Masa Membaca:1 Minit, 47 Saat

SERI NEGERI 31 Julai – Kerajaan Negeri menafikan dakwaan pegawai khidmat pelanggan bertugas di kaunter Melaka Duck Tours, Banda Hilir bersikap biadab terhadap seorang pelanggan.

Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Abdul Razak Abdul Rahman berkata, sebaliknya berlaku salah faham antara petugas dan pelanggan berkenaan.

Abdul Razak sedia maklum mengenai kejadian itu dan sudah mendapat maklum balas awal daripada pihak pengurusan syarikat pengendali produk pelancongan itu.

Katanya, adalah menjadi keutamaannya untuk memastikan pengunjung yang datang ke Negeri Melaka mendapatkan perkhidmatan terbaik.

“Saya mengambil maklum perkara ini dan akan hubungi syarikat berkenaan untuk mendapat penjelasan lanjut.

“Sebagai Exco bertangunggjawab, keutamaan saya adalah memastikan pelancong mendapat perkhidmatan yang terbaik ketika berada di Melaka, sekali gus menggalakkan lebih ramai pelawat berkunjung ke negeri ini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau mengulas kenyataan dimuat naik seorang individu yang menggunakan nama Mary Anni di laman Facebook yang mendakwa tidak dilayan sewajarnya oleh pegawai khidmat pelanggan ketika mahu mendapatkan maklumat mengenai perkhidmatan Melaka Duck Tour.

Menerusi hantaran berkenaan individu berkenaan mendakwa petugas kaunter tiket bersikap seolah-olah acuh tak acuh ketika menjawab segala pertanyaan dikemukakan sehingga dia hilang ‘mood’ untuk meneruskan perancangannya menaiki produk pelancongan itu.

Mengulas lanjut, Abdul Razak berkata, berdasarkan maklum balas awal daripada syarikat produk pelancongan itu, kejadian berkenaan berlaku pada jam 4 petang ketika wanita terbabit bertanyakan mengenai tiket dan waktu perjalanan.

“Ketika itu, kaunter tiket dikendalikan kakitangan bernama Cassey dan ketika pengadu bertanyakan mengenai waktu perjalanan seterusnya, petugas itu menjawab dua kali dengan jawapan 5.30 petang dengan suara agak kuat sedikit kerana pintu kaunter terbuka kedua-duanya.

“Dalam keadaan tiada pendingin hawa dan keadaan muzik beca dari luar menyebabkan suasana menjadi agak bising menyebabkan petugas berkenaan menguatkan suaranya.

“Ditambah pula dengan kedudukan kaunter yang agak rendah menyebabkan suara petugas mungkin tidak didengari, sekali gus menyebabkan pengadu beranggapan Cassey meninggikan suaranya,” katanya.

Berikutan itu, beliau berkata pihak syarikat produk pelancongan itu akan menambah baik perkhidmatan mereka dengan memasang pembesar suara.

Katanya, susulan itu pihak Melaka Duck Tours memohon maaf kepada pengadu iaitu Puan Mary Anni atas kejadian itu dan berjanji memperbaiki tahap perkhidmatan petugas dan kakitangannya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

9645
Kongsi :
Previous post Mustafa dilantik Ahli Dewan Negara
Next post ‘Water Taxi’ mudahkan pelancong ke Banda Hilir
Ubah saiz-+=