Bukan 10 peratus, sepatutnya percuma atau 50 peratus – Industri perhotelan
AYER KEROH 1 Jun – Sektor pelancongan yang terkesan di negeri ini meminta supaya kadar pengurangan pengoperasian bil elektrik di setiap premis pelancongan diberikan secara percuma atau sekurang-kurangnya potongan sebanyak 50 peratus dan bukannya sekadar 10 peratus.
Presiden Persatuan Pelancongan Melaka (MTA) Madeline Kuah Wey Lee berkata ini kerana sudah jelas bukan sahaja sektor pelancongan di negeri ini tidak dapat beroperasi malah di seluruh negara.
“Sektor ini (pelancongan) memang tidak beroperasi langsung, kalau ada kakitangan yang bekerja pun semuanya Bekerja Dari Rumah (BDR) sahaja.
“Tenaga Nasional Berhad (TNB) juga sebenarnya perlu beri diskaun kepada rakyat di luar sana sebagai tanggungjawab sosial korporat (CSR) mereka,” katanya.
Sementara itu Pengerusi Persatuan Hotel Bajet Malaysia (MyBHA) Melaka Sazali Sabri turut menyatakan hasrat yang sama supaya pembayaran bil elektrik diberikan secara percuma buat pemain industri pelancongan.
“Kalau biasa operasi hotel boleh dapat ‘income’ lebih okaylah potongan 10 peratus, tapi bila ‘lockdown’ kita memang tak operasi langsung jadi rasanya bil elektrik tu boleh lah diberikan percuma.
“Bila tiada bisnes, kos elektrik jatuh sampai RM1,000 sebulan, kalau bagi 10 peratus apa bezanya, sebab kita tetap tak boleh operasi,” katanya yang juga Pengurus Besar Hotel MITC.
Semalam Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan kerajaan melanjutkan pemberian diskaun bil elektrik kepada sektor yang terjejas.
Beliau berkata ia membabitkan pengendali hotel, agensi pengembaraan dan pelancongan, premis dan kompleks beli-belah, pusat konvensyen, taman tema dan pejabat syarikat penerbangan tempatan.
“Sektor yang terjejas layak menerima diskaun bil elektrik sebanyak 10 peratus selama tiga bulan tambahan antara Julai sehingga September 2021,” katanya semasa mengumumkan Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi Tambahan (PEMERKASA Plus) yang disiarkan secara langsung, malam tadi.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.