
BUKA MINDA PELAJARI TEKNOLOGI DIGITAL, FAHAMI PERANAN MPJ
JASIN 16 Januari – Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Bandaraya Melaka mengadakan lawatan sambil belajar ke Majlis Perbandaran Jasin (MPJ) bagi mempelajari peranan dan fungsi yang dilaksanakan MPJ.
Yang Dipertua MPJ, Mohd Shaiful Hizam Johan berkata lawatan itu bagi memperluaskan pengetahuan pelajar mengenai transformasi digital berkaitan dengan kursus mereka dalam Ijazah Pengurusan Teknologi, Fakulti Pengurusan dan Perniagaan.
“Sudah tentu lawatan ini bukan sahaja membuka minda para mahasiswa terhadap dunia pekerjaan sebenar, tetapi memupuk kesedaran mengenai pentingnya integrasi teknologi digital dalam pembangunan sesebuah organisasi.
“Pada lawatan ini pelajar diberikan taklimat oleh Pengarah Teknologi Maklumat MPJ, Ts. Mohamad Fadzli Muhamad Saleh yang mana pelajar didedahkan dengan penerapan teknologi digital dan sistem yang diguna pakai MPJ,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Lawatan yang diketuai Pensyarah Kanan Fakulti Pengurusan dan Perniagaan UiTM Kampus Bandaraya Melaka, Nor Maslia Rasli Samudin itu disambut Setiausaha MPJ, Muhammad Zahiruddin Mohd Zahari.
Pada lawatan itu pelajar telah diberikan taklimat berhubung peranan serta fungsi MPJ kepada masyarakat khususnya dan pemangkin kepada kemajuan Negeri Melaka amnya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.