
BUFET RAMADAN HOTEL DI MELAKA SELAMAT, TIADA YANG DIARAH TUTUP
AYER KEROH 6 Mac – Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri Datuk Ngwe Hee Sem menafikan laporan mengaitkan penutupan tiga dapur hotel yang menawarkan bufet Ramadan di negeri ini kerana kotor.
Sebaliknya, beliau menjelaskan, kes membabitkan tiga buah hotel diarah tutup sebelum ini adalah kejadian sebelum bulan Ramadan.
Menurutnya, ketiga-tiga dapur hotel tersebut ditutup 19 hingga 21 Februari lalu dan dibenar untuk kembali beroperasi oleh Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) Jabatan Kesihatan Negeri Melaka selepas berpuas hati dengan kerja-kerja pembersihan yang dijalankan.
“Kenyataan yang dipetik sebelum ini adalah salah faham berhubung penutupan yang dilakukan pada bulan lalu dan bukannya sewaktu Ramadan ini.
“Justeru itu, saya meminta agar pembetulan dilakukan bagi mengelakkan sebarang kekeliruan.
“Jadi, orang ramai khususnya umat Islam tidak perlu bimbang untuk menikmati bufet Ramadan yang ditawarkan di negeri ini kerana buat masa ini semua dalam keadaan baik,” katanya.
Tambahnya, Jabatan Kesihatan Negeri Melaka bagaimanapun akan terus membuat pemantauan bagi memastikan aspek kebersihan dan keselamatan makanan terus diberi perhatian.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.