Sorting by

×

BUDIMAS sasar BINA 12 perpustakaan kanak-kanak seluruh negara

Masa Membaca:1 Minit, 39 Saat

ASAHAN 7 Mei – Yayasan Kebajikan BUDIMAS menyasarkan untuk membina 12 perpustakaan kanak-kanak di seluruh negara menerusi program Budimas Education Charity Fund (BECF) sepanjang tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Anne Rajasaikaran berkata, setakat ini beberapa lokasi sedang dikenal pasti bagi pembinaan kemudahan akademik itu termasuk di Negeri Melaka.

Menurutnya, hasil program BECF dilaksanakan sejak 2018 pihaknya sudah berjaya membina 12 perpustakaan di beberapa negeri dan akan terus dikembangkan lagi.

Jelasnya, inisiatif itu mengutamakan peluang pendidikan kepada masyarakat Orang Asli yang dilihat masih ketinggalan dalam bidang akademik.

“Kami mahu memastikan anak-anak masyarakat Orang Asli ini mampu melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi, sekali gus mengubah nasib keluarga daripada terus dibelenggu kemiskinan.

“Menerusi inisiatif ini kami yakin pembangunan pendidikan buat masyarakat Orang Asli dan luar bandar mampu dibela,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Majlis Perasmian Perpustakaan Kanak-Kanak BUDIMAS Kampung Orang Asli Gapam Baru, di sini, pada Isnin.

Majlis itu dirasmikan Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman yang mewakili Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh.

Hadir sama, Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri, merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Asahan, Datuk Fairul Nizam Roslan; Timbalan Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri, Low Chee Leong dan Timbalan Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri, Zahari Abd Kalil.

Yang turut hadir, Pengarah Jakoa Melaka dan Negeri Sembilan, Shahrani Idderis, Pengerusi Yayasan Kebajikan BUDIMAS, Yang Mulia Tunku Datuk Yaacob Khyra serta tetamu lain.

Mengulas lanjut, perpustakaan yang dibina akan ditanggung sepenuhnya oleh yayasan berkenaan dengan nilai peruntukan sebanyak RM170,000.

“Bagi Perpustakaan Kanak-kanak Budimas di Kampung Gapam Baru ini ia dikenal pasti mampu memberi manfaat kepada 50 anak-anak Orang Asli berusia 5 hingga 15 tahun dan akan beroperasi dari Isnin hingga Sabtu bermula jam 2 petang hingga 7 malam.

“Perpustakaan ini juga dibina untuk dijadikan tempat mereka berkumpul, belajar dan mengulangkaji pelajaran serta menjalankan aktiviti berkaitan pendidikan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

161
Kongsi :
Previous post Beri laporan palsu kepada polis: Warga emas dipenjara sehari
Next post Rebut peluang jadi usahawan tani
Ubah saiz-+=