‘Budak STPM pun hebat juga’

Masa Membaca:1 Minit, 21 Saat

BUKIT BARU 24 Julai – Ramai beranggapan tingkatan enam adalah pilihan terakhir kepada lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang gagal mendapat tempat di institusi pengajian tinggi (IPT).

Namun bagi Ainur Adilah Norharidan, 20, meskipun memperoleh 6A ketika menduduki SPM dia memilih untuk ke tingkatan enam yang dianggap sebagai ‘persinggahan’ bagi melakukan persediaan sebelum melangkah ke universiti.

Dia mencontohi kakaknya yang memilih menyambung pengajian ke tingkatan enam selepas SPM dan seterusnya menduduki peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).

“Sambung pengajian ke tingkatan enam dan menduduki STPM adalah pilihan pertama saya sebagai persediaan untuk ke universiti. Melihat kejayaan kakak yang sebelum itu turut ke tingkatan enam ia mendorong saya mengikuti jejak langkahnya.

“Alhamdulillah, dengan izin saya memperoleh keputusan 4.0 malah dengan kejayaan rakan-rakan yang lain ini membuktikan pelajar STPM juga hebat dalam akademik,” katanya yang mengambil aliran agama.

Ainur Adilah berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Aspresiasi Peperiksaan STPM 2023 yang disempurnakan Timbalan Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Rosli Abdullah, di Jabatan Pendidikan Negeri Melaka, Jalan Bukit Baru, semalam.

Bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Sultan Muhammad ini berkata, persediaan awal dan memberi sepenuh perhatian dalam kelas antara yang dipraktikkan bagi mencapai keputusan cemerlang.

“Tidak perlu kelam kabut untuk melakukan ulang kaji pelajaran, jadi beri tumpuan ketikga guru mengajar. Tidak perlu ‘work hard’ atau ambil masa untuk belajar balik. Sebagai pelajar kita juga perlu menjaga hubungan baik dengan guru yang tidak jemu berkongsi ilmu, hormatilah mereka.

“Keputusan diperoleh ini juga sudah pastinya berkat doa daripada ibu yang sentiasa ada bersama saya, terima kasih ibu,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2041
Kongsi :
Previous post Sedia khidmat kaunseling bantu mangsa kemalangan
Next post ‘Rumah ikan’ bawa sinar baharu buat nelayan Pantai Kundor
Ubah saiz-+=