Buaya tembaga datang lagi
PANTAI KUNDOR 3 Julai – Orang ramai yang sedang membeli ikan di deretan gerai ikan di Pantai Puteri, di sini dikejutkan dengan kelibat buaya tembaga yang berenang kira-kira 100 meter dari gigi pantai.
Dalam kejadian jam 10 pagi itu, orang ramai menyedari kemunculan reptilia liar itu sanggup berhenti daripada memilih ikan semata-mata untuk menyaksikan haiwan itu yang sekian lama ‘menyepikan diri,’ sebelum kembali di pantai berkenaan hari ini.
Ia dikesan muncul dari arah perairan Kem Terendak, Sungai Udang dan bergerak ke Pantai Puteri dalam keadaan menentang arus surut sebelum muncul di permukaan air selama kira-kira setengah jam.
Penduduk Kampung Pantai Rombang, Rosli Abu Bakar, 56, berkata kali terakhir buaya muncul di pantai itu adalah pada Februari 2020 dan dipercayai datang dari perairan Kuala Linggi dan berenang ke arah perairan Klebang.
“Semasa saya bekerja di Pelabuhan Tanjung Bruas awal tahun lalu, saya dan pekerja lain nampak buaya tembaga muncul berhampiran jeti, dipercayai mencari makan di sekitar perairan jeti.
“Selepas itu haiwan itu tidak kelihatan lagi hinggalah ia muncul semula hari ini,” katanya ketika ditemui di Kampung Pantai Rombang, hari ini.
Abdul Halim Ismail, 41, berkata perairan Pantai Puteri adalah laluan buaya dari Kuala Linggi ke perairan Klebang sebelum ini dan buaya yang dilihat hari ini dipercayai sama yang pernah muncul sebelum ini.
Katanya, kemunculan pemangsa besar separa akuatik itu membatalkan hasratnya untuk melanggai, iaitu menangkap udang dengan kaedah menolak jaring yang diikat pada batang buluh secara bersilang di gigi pantai, malam ini.
“Buaya itu saiznya besar dan kalau ia sudah kelihatan di pantai ini, tiada siapa pun yang berani turun melanggai pada waktu malam,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Melaka, Mohd Firdhaus Mahmood berkata, pegawai jabatan itu akan melakukan siasatan.
Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai, terutama nelayan supaya tidak membuat perkara yang menyebabkan buaya berasa keselamatannya terancam.