BUAT VIDEO TIKTOK PROMOSI MELAKA, BOLEH MENANG RM5,000
TANJUNG BIDARA 15 September – Orang ramai yang aktif mencipta kandungan di platform TikTok dipelawa menyertai Pertandingan Creative Content TikTok sempena Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024).
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, pertandingan itu dijadual bermula pada Oktober depan sehingga penghujung tahun ini dengan tawaran hadiah berupa wang tunai RM5,000 menanti pemenang utama.
Jelas Ketua Menteri, pertandingan itu terbuka kepada sesiapa sahaja, di mana kandungan video tersebut perlulah mempromosikan apa jua tarikan yang ada di Melaka, sama ada dalam bentuk seni, budaya, sejarah, makanan dan lain-lain lagi.
“Kita juga akan meletakkan pelbagai kategori untuk membolehkan sesiapa sahaja menyertai pertandingan ini, di mana kandungan video tersebut mestilah satu bahan baharu yang berupaya menarik kehadiran pelancong ke Melaka.
“Mereka yang mencipta video menarik, selain dapat mempengaruhi pelayar-pelayar di TikTok akan dipilih sebagai pemenang utama dengan hadiah berupa RM5,000.
“Pertandingan ini terbuka kepada semua, jadi berkaryalah dalam mempromosikan Melaka negeri yang bersejarah ini,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Pesta Pantai Tanjung Bidara 2024, di sini, hari ini.
Hadir sama, Ketua Menteri Melaka Ke-12 Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali; Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Azhar Arshad; Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman; Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri serta ketua-ketua jabatan dan agensi.
Menurut Ab Rauf, segala maklumat lanjut dan syarat-syarat pertandingan akan dihebahkan di laman media sosial beliau serta Kerajaan Negeri Melaka tidak lama lagi.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.