Buat hantaran jelik di Facebook, ‘Apit Wan Lebo’ dihadap ke mahkamah
IPOH, 17 Dis – Seorang pengguna akaun Facebook yang dikenali sebagai ‘Apit Wan Lebo’ didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan membuat penghantaran komunikasi yang jelik berhubung pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan, Mei lepas.
Roshafeez Abdul Hamid, 39, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Norita Mohd Ardani.
Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa menggunakan perkhidmatan aplikasi Facebook akaun profil ‘Apit Wan Lebo’ telah secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komunikasi yang jelik sifatnya dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain.
Dia dituduh melakukan perbuatan itu pada 1.30 tengah hari, 9 Mei 2021 dan pautan itu telah dibaca keesokannya pada 10.30 pagi di Pejabat Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Batu Gajah.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 233(3) akta sama, yang membawa hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya dan boleh juga didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan, selepas sabitan.
Timbalan Pendakwa Raya Liyana Zawani Mohd Radzi menawarkan jaminan RM10,000 namun tertuduh yang diwakili peguam Sukhdave Singh dan Keshvinder Singh merayu jaminan dikurangkan atas alasan menanggung isteri dan lima orang anak dan bekerja sebagai penjual nasi lemak dengan pendapatan RM1,500 sebulan.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 25 Jan depan untuk sebutan semula kes. – BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.