Buang sampah merata-rata, MBMB keluar 52 kompaun
AYER KEROH 19 April – Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) mengeluarkan 52 kompaun kepada individu yang dikesan membuang sampah merata-rata di kawasan sekitar pentadbiran Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) itu.
Datuk Bandar MBMB, Datuk Shadan Othman berkata, kompaun terbabit dikeluarkan dibawah Undang-Undang Kecil PBT Akta 133, Seksyen 47(1)e dalam tempoh Januari hingga 15 April tahun ini.
Katanya, akta tersebut merujuk kepada mana-mana individu atau premis perniagaan yang menjatuhkan menumpah, atau menabur apa-apa debu, pasir, tanah, kelikir, tanah liat, tanah gembur, batu, rumput, rumput kering, rautan, abuk kayu, abu, sampah kebun, sampah,kandang, sampah tred, baja, sampah atau apa-apa barang lain atau benda di sesuatu tempat awam, sama ada dari sesuatu kereta yang bergerak atau berhenti atau dengan apa-apa cara lain.
“Ia termasuklah orang awam yang sesuka hati membuang puntung rokok dari kenderaan sama ada kenderaan itu bergerak atau tidak, yang mana ia adalah kesalahan di bawah seksyen ini.
“Mereka boleh ditangkap tanpa waran oleh mana-mana pegawai polis atau oleh mana-mana pegawai atau pekerja PBT yang diberi kuasa secara bertulis bagi maksud itu oleh PBT itu dan boleh dibawa ke hadapan suatu Mahkamah Majistret.
“Ia juga boleh disabitkan denda atau kompaun tidak melebihi RM500 dan mengenai sabitan kali kedua atau kali kemudian didenda tidak melebihi RM1,000,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Dalam pada itu, Shadan memaklumkan, akta terbabit turut terpakai kepada mana-mana peniaga atau premis perniagaan yang tidak membuang sampah ke dalam tong sampah yang disediakan.
“Sebagai contoh, terdapat segelintir peniaga atau pekerja kedai makan yang membuang sampah kedai mereka di luar tong sampah, kalau tong itu penuh tidak mengapa, namun tong sampah itu kosong. Jadi kita kenakan denda kepada mereka.
“Kita harap semua pihak dapat memainkan peranan masing-masing untuk memastikan negeri ini bersih, lagi-lagi tahun ini adalah Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024),” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.