BUANG BAYI: REMAN TERHADAP WANITA DISAMBUNG DUA HARI
Ketua Polis Daerah Kangar ACP Yusharifuddin Mohd Yusop berkata sambung reman terhadap wanita berusia 29 tahun, yang bekerja sebagai pembantu kedai makan itu dibenarkan Majistret Mahkamah Kangar Ana Rozana Mohd Nor.
“Lanjut reman dua hari (bermula) 6 hingga 7 Feb 2025,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Pada Ahad lepas, Bernama melaporkan wanita yang tinggal bersama empat anak manakala suaminya berada di pusat pemulihan dadah itu ditahan polis kerana dipercayai terlibat dalam kes pembuangan bayi perempuan, dan direman dari 2 Feb hingga hari ini untuk membantu siasatan.
Yusharifuddin dalam laporan itu dipetik sebagai berkata siasatan awal mendapati wanita itu dipercayai melahirkan bayi perempuan berkenaan dalam tandas seorang diri di sebuah rumah di Jalan Tok Pulau, Kampung Permatang Kersek, Simpang Empat kira-kira 6.30 petang pada 18 Jan lepas.
Beliau berkata kes itu disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran dengan niat membuang bayi, yang memperuntukkan hukuman penjara hingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya. – BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.