‘Brisk Walk’ 8.8km bersama Tun Mohd Ali

Masa Membaca:1 Minit, 30 Saat

DURIAN TUNGGAL 20 Januari – Lebih seribu pelajar dan warga kerja Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) telah menjayakan program UTeM Eco Fit Brisk Walk Bersama Tun Canselor, baru-baru ini.

Program anjuran Pusat Sukan UTeM itu diserikan dengan kehadiran Canselor UTeM, Tun Seri Setia (Dr.) Mohd Ali Mohd Rustam di sekitar Kampus Induk UTeM, Durian Tunggal.

Naib Canselor UTeM, Profesor Ts Dr Massila Kamalrudin berkata, antara objektif program adalah untuk menggalakkan budaya bersukan dan amalan gaya hidup sihat dalam kalangan pelajar dan warga UTeM.

Katanya, program itu juga menzahirkan sokongan UTeM kepada amalan tenaga hijau bagi penganjuran sukan sifar pelepasan karbon.

Pada masa sama, jelasnya, platform itu menjadi medan ramah mesra dan santai di antara Tun Canselor bersama dengan pihak pengurusan tertinggi, warga kerja dan pelajar UTeM.

“Di samping itu, ianya turut menjadi elemen penyumbang kepada pembentukan Keluarga UTeM yang sihat dan kompeten serta melahirkan pelajar yang mempunyai nilai tambah.

“Antaranya adalah melonjak keupayaan mereka dalam menganjur dan menguruskan secara bersama program bercorak sukan sebegini,” ujarnya.

WhatsApp Image 2023-01-19 at 15.54.38
TUN Mohd Ali (tengah) bersama Massila bergambar bersama sebahagian daripada 1,000 warga kerja dan pelajar UTeM pada program UTeM Eco Fit Brisk Walk Bersama Tun Canselor.

Mengulas lanjut, Massila berkata, program sukan pembuka tirai tahun 2023 itu turut menguji kecergasan para peserta apabila perlu melengkapkan trek laluan sejauh 8.8 kilometer di samping menikmati keindahan dan kehijauan flora dalam Kampus Induk UTeM ini.

Pada majlis yang sama Massila terlebih dahulu telah menyempurnakan Pelancaran UTeM Eco Fit 2023.

Turut bersama dalam program itu adalah Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa, Prof. Dr. Zulkifilie Ibrahim, Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi, Prof. Ir Dr Ghazali Omar dan Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar UTeM, Prof. Madya Dr Sabri Mohamad.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1319
Kongsi :
Previous post Fahmi ucap tahniah kepada Suhaimi sebagai Ketua Pengarah Penyiaran baharu
Next post Arca mata kail bakal jadi mercu tanda Pantai Kundor
Ubah saiz-+=