Sorting by

×

BPP promosi destinasi Melaka melalui konsep hibrid

Masa Membaca:2 Minit, 27 Saat

AYER KEROH 21 Mei – Bahagian Promosi Pelancongan (BPP) Jabatan Ketua Menteri Melaka merangka strategi dalam usaha memastikan kesinambungan industri pelancongan negeri dalam tempoh sukar Perintah Kawalan Pergerakan 3.0 (PKP 3.0).

Antara kaedah akan dilaksanakan bagi merancakkan semula sektor pelancongan termasuk memperluas promosi destinasi Melaka melalui kaedah atas talian berkonsepkan hibrid bagi tempoh enam hingga 12 bulan ke hadapan.

Pengurus Besarnya Sa’ari Basiron berkata, pendekatan itu dilaksanakan dengan kerjasama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Tourism Malaysia dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) pelancongan Melaka.

PENGURUS Besar Bahagian Promosi Pelancongan Jabatan Ketua Menteri Melaka, Sa’ari Basiron.

“Kita akan buat promosi seperti Cuti-Cuti Malaysia Persatuan Pelancongan Domestik Malaysia (MITA) bersama Shopee Travel Fair 2021 dari 17 hingga 21 Jun depan, kempen promosi bersama Lazada (7 Julai 2021), Program Cuti-Cuti Melaka & Malaysia (20 – 22 Ogos 2021), Seminar Hibrid Millenial, Sport & Adventure bersama Tourism Malaysia Jakarta (26 Ogos, 14 Oktober & 9 Disember 2021).

“Selain itu, Misi Galakan Pelancongan ‘Travel Bubbles’ ke Ipoh, Kuantan dan Alor Setar bermula Jun hingga Ogos depan, Destination Passport Book bagi mempromosikan produk pelancongan di kawasan Ayer Keroh dan pengiklanan menerusi Bas Rapid di Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Pahang.

“Penganjuran acara utama turut diadakan antaranya Malakka Dutch Week pada Julai depan, Melaka Food & Fruits Fiesta 2021 (23 – 25 Julai 2021), Karnival Warisan Kita 2021 (Ogos 2021) dan Karnival Kerjaya & Pelancongan Belia Negeri Melaka (September 2021),” katanya kepada Melaka Hari Ini.

KEMPEN Promosi Melakan Visit Melaka (MVM) 3.0 yang telah dilancarkan.

Menurut Sa’ari terdapat beberapa produk dan perkhidmatan pelancongan baharu yang diusahakan melalui kerjasama anak syarikat Kerajaan Negeri dengan rakan strategik bagi tempoh suku tahun ketiga dan keempat 2021.

“Antaranya Bas Pelancongan Elektrik Singgah-Singgah Negeri Melaka, Pakej Pit Stop Melaka River Cruise, Rumah Hantu (House Of Creeps) dan Gastronomic Tourism (Food Tourism Trail).

“Sekiranya situasi mengizinkan, BPP juga akan mengadakan kerjasama dengan Pejabat Warisan Dunia Melaka (MWHO) serta sukarelawan pelancongan untuk menganjurkan program gotong-royong perdana sempena sambutan Melaka Bandaraya Warisan Dunia pada Julai depan.

“Program ini memfokuskan produk pelancongan di kawasan tapak warisan dunia supaya tahap kebersihan dan keceriaan produk pelancongan berteraskan sejarah dan warisan ini pada tahap paling optimum,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Sa’ari meminta kerajaan negeri mempertimbangkan untuk memberi keutamaan suntikan vaksin COVID-19 di bawah Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) Fasa 3 kepada penggiat industri pelancongan Melaka.

“Mereka ini merupakan kumpulan yang dikategorikan sebagai barisan hadapan ekonomi yang perlu diberi perhatian dalam pemberian vaksin COVID-19.

“Dianggarkan terdapat seramai 55,200 penggiat industri di negeri ini yang merupakan golongan barisan hadapan yang berisiko tinggi kepada ancaman COVID-19,” katanya.

Beliau turut berharap penggiat industri pelancongan di negeri ini dapat membantu kerajaan negeri dalam memberi idea dan pandangan untuk mempromosi Melaka sebagai destinasi pelancongan utama di Malaysia.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1461
Kongsi :
Previous post COVID-19: ‘Curi-curi’ ziarah raya punca peningkatan kes di Melaka, Kelantan
Next post Lima pesakit COVID-19 pertama tiba jam 4 petang di PKRC awam MITC
Ubah saiz-+=