Botol, kertas terpakai jadi hiasan merdeka
AYER KEROH 12 Ogos – Suruhanjaya Tenaga Negeri Sembilan & Melaka (STNSM) menggunakan kreativiti tersendiri dalam menzahirkan rasa cinta kepada negara.
Mana tidaknya dengan hanya menggunakan botol plastik, kertas terpakai dan straw, agensi kerajaan itu berjaya menghiasi lobi mereka dengan dekorasi unik bersempena Bulan Kebangsaan tahun ini.
Penolong Pengarah STNSM, Mohammad Syamim Mohammad Basri berkata, menggunakan bahan itu warga kerjanya cipta logo Malaysia MADANI, replika Menara KLCC dan bingkai gambar.
“Kita mula membuat dekorasi ini sejak Isnin lalu, setakat ini kerja-kerja dekorasi sudah siap 70 peratus.
“Ini adalah kali pertama STNSM menyertai aktiviti begini, setiap objek yang dihasilkan hanya menggunakan warna merah, putih, biru dan kuning selaras dengan warna Jalur Gemilang kita.
“Ini juga penglibatan kami dalam Pertandingan Dekorasi Lobi Semarak Kebangsaan #TEAMST 2023 anjuran Suruhanjaya Tenaga sendiri,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Katanya, dengan menyertai pertandingan itu, ia secara tidak langsung memupuk semangat kerjasama antara kakitangan STNSM.
“Biarpun kali pertama sertai pertandingan ini, saya lihat semua kakitangan sangat seronok dan bersemangat untuk menyiapkan hiasan tersebut.
“Kita juga berharap inisiatif ini dapat bersama-sama membangkitkan semangat patriotisme dalam kalangan rakyat negara ini amnya dan Negeri Melaka khususnya,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.