Bot nelayan kibar Jalur Gemilang, bentuk formasi 63 di laut Melaka
KLEBANG 30 Ogos – Unik dan kreatif! Mungkin itu yang dapat disimpulkan mengenai kemeriahan sambutan Bulan Kemerdekaan yang berlangsung di Pantai Klebang, petang semalam.
Ia apabila sambutan kemerdekaan itu dimeriahkan dengan kehadiran bot-bot nelayan dari sekitar Klebang dan Pantai Kundor yang dihiasi dengan kibaran Jalur Gemilang.
Menariknya, kira-kira 130 bot nelayan itu turut mencipta kelainan dengan bergerak menuju ke tengah laut dan membentuk formasi nombor 63 sebagai simbolik sambutan Hari Kemerdekaan ke-63 tahun ini.
Program anjuran Pertubuhan Pembela Klebang Besar dengan kerjasama Japerun DUN Klebang dan Japerun DUN Pantai Kundor itu telah dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Penternakan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri Datuk Norhizam Hassan Baktee.
Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Kundor Datuk Nor Azman Hassan dan wakil pemimpin setempat.
Menurut penganjur program Datuk Mohd Yusof Abu Hasan, bertepatan dengan tema Malaysia Prihatin tahun ini, pihaknya membawakan konsep nelayan bagi membuktikan bahawa tiada golongan yang terpinggir dalam meraikan kemerdekaan negara yang telah dikecap selama lebih enam dekad.
Beliau yang juga Pengerusi Pertubuhan Pembela Klebang Besar berkata, pihaknya terkejut dengan sambutan yang diterima daripada nelayan kawasan itu yang sanggup melupakan seketika pencarian rezeki mereka semata-mata untuk memeriahkan sambutan kemerdekaan yang dianjurkan itu.
“Kita tidak membuat permohonan secara rasmi, tetapi mereka (nelayan) sendiri yang rela hati datang ke sini. Itu menunjukkan keprihatinan mereka yang sanggup tidak turun ke laut mencari rezeki sepanjang hari ini demi demi menyemarakkan sambutan kemerdekaan.
“Ini sekali gus menunjukkan golongan nelayan negeri ini tidak tertinggal dalam konteks pengisian kemerdekaan apabila mereka menunjukkan penghargaan tersendiri dengan membentuk formasi 63 di tengah laut sebagai simbolik 63 tahun negara kita mencapai kemerdekaan,” katanya.
Selain penglibatan nelayan, program itu turut diserikan dengan pemberian 500 jalur gemilang kepada pengunjung selain turut mengadakan kuiz kemerdekaan kepada kanak-kanak di pantai berkenaan.