Sorting by

×

BOT MELAKA RIVER CRUISE PILIHAN UTAMA PENGUNJUNG TEMPATAN

Masa Membaca:1 Minit, 38 Saat

BANDARAYA MELAKA 21 Februari – Menaiki Bot Melaka River Cruise (MRC) antara pilihan utama pengunjung yang  memanfaatkan kemasukan secara percuma ke 13 lokasi pelancongan Melaka sempena cuti umum Hari Pengisytiharaan Kemerdekaan Tanah Melayu, semalam.

Pengunjung, Mohd Zulhazreen Mohd Nasir, 37, berkata dia mengambil manfaat untuk membawa ibu dan dua anak lelakinya menikmati keindahan Sungai Melaka dengan menaiki MRC kerana tidak berpeluang berbuat demikian tahun lalu.

Jelasnya, berdasarkan maklumat semasa aliran trafik diperolehi menerusi platform media sosial dan merancang perjalanan dan memilih untuk menaiki  MRC sebelum beralih ke lokasi pelancongan lain.

“Anak-anak memang teringin sangat mahu naik bot MRC, jadi bila ada peluang sebegini memang syukurlah. Kalau pada tahun lalu, saya lihat orang ramai beratur panjang, sampai ke jalan raya luar dari kawasan jeti semata-mata untuk naik bot.

“Tapi pada tahun ini, nampak lebih teratur, beratur juga tidak tunggu lama sebab dimaklumkan pihak Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM) membuka empat jeti,” katanya yang berasal dari Cheng.

Sementara itu suri rumah, Nor Afikah Mohd Zain, 34, dari Banda Hilir berkata, dia mengambil kesempatan pada cuti umum ini membawa tiga anaknya menikmati keindahan Sungai Melaka.

Jelasnya, cuti umum itu benar-benar memberi manfaat kepada warga Melaka khasnya menikmati produk pelancongan di negeri sendiri.

“Sebelah pagi sempat ke Muzium Penjara Malaysia Melaka sebelum menaiki bot MRC yang menjadi pilihan anak-anak. Mereka gembira dapat berjalan makan angin walaupun di negeri sendiri, percuma lagi, jadi kita tidak perlu keluarkan kos yang tinggi.

“Terima Kasih Kerajaan Negeri Melaka kerana melaksanakan cuti umum dengan inisiatif kemasukan percuma ini sangat memberi peluang kepada ibu bapa yang ramai anak untuk merasai produk pelancongan yang terdapat di Melaka ini,” jelasnya.

Untuk rekod, tahun ini merupakan edisi kedua tawaran kemasukan percuma oleh Kerajaan Negeri Melaka sempena cuti umum Hari Pengisytiharan Kemerdekaan Tanah Melayu pada 20 Februari.

Tahun lalu, inisiatif itu berjaya menarik 109,742 pengunjung dan pelancong menerusi 11 produk pelancongan yang menawarkan tiket percuma.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

175
Kongsi :
Previous post MASUK PERCUMA BERI TEMPIAS REZEKI KEPADA PENIAGA
Next post MENARA TAMING SARI BERI PENGALAMAN INDAH BUAT WARGA EMAS, OKU