Bot kargo bawa minyak tanpa kebenaran ditahan
PELABUHAN KLANG 16 Jun – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Selangor manahan sebuah bot kargo membawa minyak tanpa kebenaran di perairan Pelabuhan Klang, di sini awal pagi semalam.
Pengarahnya, Kapten Maritim V. Siva Kumar berkata bot berkenaan ditahan di 0.1 batu nautika barat daya Pelabuhan Klang ketika rondaan rutin dan penguatkuasaan dilakukan pada jam 10.30 pagi.
Katanya, pemeriksaan awal mendapati, bot berkenaan dikendalikan dua lelaki warga tempatan iaitu seorang tekong berusia 60 tahun dan seorang kru berumur 64 tahun.
“Ketika ditahan, pasukan operasi juga menemukan 15 tong minyak diesel, 32 baldi dan 30 botol minyak pelincir di atas bot,” katanya dalam satu kenyataan di sini.
Mengulas lanjut, beliau berkata, pemeriksaan lanjut mendapati kedua-dua lelaki berkenaan gagal mengemukakan dokumen kebenaran sah untuk membawa bahan tersebut mengikut Akta Kemajuan Petroleum (PDA).
“Tekong hanya memiliki PDA yang telah tamat tempoh berakhir pada 30 Julai 2021.
“Susulan itu, kedua-dua lelaki terbabit serta bot yang membawa muatan itu ditahan sebelum dibawa ke Jeti Polis Marin Pulau Indah untuk siasatan lanjut.
“Kes disiasat di bawah Akta Petroleum 1985 (Langkah – Langkah Keselamatan dan Pengangkutan Petroleum Melalui Air),” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.