Boss Mario selamat, sedang dapatkan rawatan di hospital swasta

Masa Membaca:55 Saat

MELAKA, 4 Feb – Pempengaruh media sosial dikenali sebagai Boss Mario ditemukan selamat dan sedang menjalani rawatan di sebuah hospital swasta di Jalan Syed Abdul Aziz di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah ACP Christopher Patit berkata Boss Mario, atau nama sebenarnya Yew Boon Xiang, 30, sebenarnya tidak hilang namun berada di dalam keadaan tertekan, kerana tidak dapat menguruskan dua kedai telefon bimbitnya.

“Keberadaan Boss Mario di hospital berkenaan dimaklumkan oleh polis menerusi abangnya yang mengesan penggunaan perkhidmatan e-panggilan oleh pempengaruh itu untuk ke hospital terbabit sebelum menghubungi pusat rawatan itu untuk pengesahan kira-kira 2.15 petang tadi.

“Boss Mario dikatakan tertekan untuk menguruskan dua kedai telefon bimbitnya serta memberi bonus kepada 22 orang pekerjanya dan bertindak duduk di sebuah rumah kosong sekitar Klebang,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Semalam, media melaporkan pempengaruh itu dilaporkan hilang sejak Jumaat lalu tanpa dapat dikesan oleh ahli keluarganya.

Dia dikatakan keluar memandu seorang diri ke Pantai Klebang kira-kira 3 pagi dan keretanya ditemukan ditinggalkan di kawasan itu dalam keadaan berkunci. — BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

4760
Kongsi :
Previous post Asahan jadi ‘port healing’
Next post 60,000 berkunjung ke Muzium Melaka sepanjang Januari
Ubah saiz-+=