Bonus bawa keluarga bercuti di Melaka

Masa Membaca:2 Minit, 1 Saat

TELOK MAS 29 Jan – “Pulau Besar memang ‘best’, berbaloi bawa keluarga datang melancong ke Melaka. Saya juga dapat sedikit bonus,” kata Heidilee Mohammad, 40, berasal dari Kota Kinabalu, Sabah

Atlet sukan lasak itu dan rakannya Rita Ghani, 45, diumumkan sebagai johan kategori ‘mix’ (campuran) pada program Pulau Besar New Year Challenge 2022 berlangsung di Pulau Besar, hari ini.

Dia yang sedang bercuti di semenanjung tidak melepaskan peluang menyertai pertandingan itu selepas dimaklumkan oleh rakan.

Pemenang acara campuran berkumpulan, Heidilee Mohammad, 40 dan Rita Gani, 45 pada Program Pulau Besar New Year Challenge 2022 di Pulau Besar, Melaka. Foto Iqmal Haqim Rosman

“Saya tumpang rumah adik di Cyberjaya, jadi sempat buat persiapan dan latihan meskipun masa singkat.

“Trek di Pulau Besar mencabar, malah bagi disiplin berkayak saya terpaksa bersaing dengan atlet lain yang lebih berpengalaman selain cabaran arus ombak yang kuat.

“Saya harap kerajaan Melaka teruskan pertandingan seperti ini saya Pulau Besar memang berpotensi untuk dimajukan sebagai lokasi eko pelancongan,” katanya yang mewakili pasukn Fit Line Malaysia Sabah.

Sementara itu johan kategori ‘open’ (terbuka) lelaki Persatuan Sukan Lasak ATM Rejimen Ke-21 Komando diwakili Mohd Feldarus Abdul Rahman,32, dan Mohd Nazri Ahmad, 38.

Feldarus berkata, mereka menghabiskan masa selama 10 hari untuk melakukan persiapan bagi menyertai pertandingan itu.

Aksi pemenang acara lelaki berkumpulan, Mohd Feldarus Abdul Rahman (kanan) dan Mohd Nazri Ahmad dari Persatuan Sukan Lasak ATM Kem Rejimen 21 Komando Sungai Udang pada Program Pulau Besar New Year Challenge 2022 di Pulau Besar, Melaka. Foto Iqmal Haqim Rosman

“Pada pertandingan ini kami berpeluang bersaing dengan atlet sukan lasak yang ternama memang tak sangka akan menang.

“Selain itu persediaan untuk disiplin kayak juga kurang kerana tidak ada tempat latihan yang sesuai,” katanya.

Untuk rekod, Pulau Besar New Year Challenge 2022, disertai seramai 120 peserta yang perlu melalui empat cabaran secara berpasukan iaitu berlari, berbasikal lasak, berkayak dan memanjat tembok.

Johan bagi setiap kategori membawa pulang hadiah wang tunai RM1,500.

Pelepasan peserta disempurnakan EXCO Pelancongan negeri Datuk Muhamad Jailani Khamis dan turut disertai Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan) Datuk Salhah Salleh dan Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Pembangunan Pulau-Pulau Melaka (MPPM) Azhar Yaaacob.

Manakala, penyampaian hadiah kepada pemenang disampaikan Exco Pembangunan Luar Bandar Datuk Abdul Razak Abdul Rahman merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telok Mas.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

973
Kongsi :
Previous post Kepulangan ‘anak rantau’ disambut meriah
Next post Pelancongan ‘Glamping’ tarikan terbaharu Pulau Besar
Ubah saiz-+=