Sorting by

×

BONGKAR SEMULA KEGEMILANGAN, KEHEBATAN MELAKA

Masa Membaca:1 Minit, 51 Saat

TANJUNG BIDARA 21 Februari – Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh, berazam mahu meneruskan usaha untuk meluruskan semula sejarah negara khusus Negeri Melaka yang dibengkokkan oleh penjajah.

Katanya, kehebatan negeri ini harus dibongkar, kebijaksanaan dan keberanian pahlawannya pula perlu dikenang, sekali gus mengembalikan kegemilangan Melaka yang kian hilang dimamah zaman.

Ab Rauf berkata, berikutan itu Kerajaan Negeri nekad untuk melaksanakan kajian mengenai Hang Tuah dan penyelidikan-penyelidikan sejarah yang lain agar dapatan daripada usaha itu kelak dapat diwariskan kepada generasi akan datang.

“Jadi, apabila kita renungkan apakah menyebabkan Melaka begitu hebat pada kaca mata pihak barat. Jawapannya adalah pentadbiran pelabuhan Melaka yang cukup sistematik kerana adanya Undang-undang Laut Melaka, iaitu satu Undang-undang Laut Melayu pertama telah dikanunkan pada zaman Sultan Mahmud Syah (1488- 1510) dan Bendahara Seri Maharaja Tun Mutahir.

“Namun, selepas kedatangan penjajah barat, mereka merubah landskap politik ekonomi Nusantara, pelabuhan Melaka silih berganti dikuasai oleh Portugis, Belanda dan Inggeris. Bukan sahaja hasil bumi kita dikaut, malahan khazanah warisan Melayu seperti manuskrip-manuskrip penting turut diangkut sama ke negara mereka.

“Akibatnya, generasi sekarang terpaksa ke eropah untuk melihat naskhah-naskhah asli,” kata Ketua Menteri ketika berucap merasmikan program Bicara Sejarah ProBEST@AG Bersama Ketua Menteri Melaka di Villa D’Acqua, Kampung Pulau, Masjid Tanah, di sini, hari ini.

Hadir sama pada majlis itu, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Azhar Arshad; Exco Kerja Raya, Infrastruktur Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri, Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer; Exco Belia, Sukan dan NGO negeri, Datuk VP Shanmugam; Timbalan Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rosli Abdullah serta Timbalan Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Zulkuflee Md Zin.

Yang turut hadir adalah Pegawai Pendidikan Daerah (PPD), Alor Gajah, Ab Malek Kasim, Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah, Sektor Pembelajaran, Azlina Abdul Kudus, pengetua dan guru besar sekolah sekitar Alor Gajah.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tanjung Bidara berkata, penganjuran program seperti Bicara Sejarah ProBEST@AG diharap dapat membuka mata dan minda warga pendidik khususnya dalam daerah Alor Gajah untuk meletakkan kepentingan sejarah dalam sesi pembelajaran.

“Secara tidak langsung usaha ini akan menarik minat pelajar untuk menjiwai sejarah Negeri Melaka yang sebenarnya sangat hebat,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

171
Kongsi :
Previous post MASUK ZOO MELAKA TEBUS KEHAMPAAN TAHUN LALU
Next post PUAS ‘BERENDAM’ DI AYER PANAS GADEK