Bomba selamatkan warga emas terperangkap dalam lori akibat banjir
JOHOR BAHRU, 14 Dis – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menyelamatkan seorang warga emas yang terperangkap di dalam lori akibat kejadian banjir kilat di jalan raya berhampiran Sungai Lebam, Penawar di Kota Tinggi, hari ini.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Penawar Pegawai Bomba Kanan (PBK) I KUP Abd Rahim Abd Rani berkata lelaki berusia 61 tahun itu diselamatkan kira-kira 7.52 pagi tadi.
“Hasil pemeriksaan mendapati terdapat seorang mangsa terperangkap di dalam lori (di bahagian muatan) akibat banjir setinggi 1.2 meter.
“Pasukan Keluaran Operasi (PKO) menyelamatkan mangsa dengan menggunakan rescue rope dan personal flotation device (PFD). Mangsa kini berada dalam keadaan selamat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sementara itu, Komander Operasi BBP Sebana Cove PBK II Noor Ikhson Shukor dalam kenyataan berasingan berkata empat sekeluarga termasuk seorang warga emas yang terperangkap di dalam rumah mereka di Kampung Muhibbah, Tanjung Serindit, Kota Tinggi, juga berjaya diselamatkan pasukan bomba.
Noor Ikhson berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu kira-kira 7.47 pagi sebelum pasukan termasuk sebuah light fire rescue tender (LFRT) dan sebuah bot fiber digerakkan ke lokasi kejadian.
“Terdapat empat mangsa terperangkap di dalam rumah itu. PKO menyelamat dan memindahkan mangsa dengan menggunakan bot. Kesemua mangsa berada dalam keadaan selamat,” katanya sambil menambah kesemua mangsa kini ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS).
Beliau berkata mangsa terdiri daripada seorang lelaki warga emas berusia 82 tahun, seorang lelaki (56 tahun), seorang wanita (54 tahun) dan seorang remaja lelaki (13 tahun).
Dalam pada itu, Pegawai Daerah Kota Tinggi Datin Paduka Hazlina Jalil ketika dihubungi Bernama berkata dua PPS telah dibuka di Kota Tinggi yang menempatkan 15 keluarga setakat 11.30 pagi tadi.
Beliau berkata 12 keluarga dari Taman Desaru Utama dipindahkan ke Dewan Muafakat Taman Desaru Utama yang dibuka pada 10 pagi manakala tiga keluarga dari Kampung Baru Sungai Mas ditempatkan di Dewan Kampung Baru Sungai Mas yang beroperasi sejak 11 pagi.
Bagaimanapun, beliau berkata jumlah sebenar mangsa yang terlibat dengan banjir kilat itu sedang didaftarkan.
Menurut beliau, paras air di kawasan terjejas kini berada pada paras buku lali dan keadaan cuaca dilaporkan hujan renyai dan mendung di beberapa kawasan di daerah berkenaan.
— BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.