
BOMBA SELAMAT DUA BERADIK TERKUNCI DALAM KERETA
MERLIMAU 19 Mac – Sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Merlimau berjaya menyelamatkan dua beradik yang terkunci di dalam kereta dalam kejadian di Pekan Merlimau, di sini, hari ini.
Pegawai Perhubungan Awam, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Timbalan Penguasa Bomba II, Mohd Hafidzatullah Rashid berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 3.43 petang sebelum sepasukan lima anggota bergegas ke lokasi kejadian.
Katanya, pihaknya difahamkan terdapat dua kanak-kanak lelaki berusia enam dan empat tahun terkunci di dalam kereta.
“Sejurus tiba di lokasi pasukan penyelamat mendapati terdapat dua orang kanak-kanak berada di dalam sebuah Toyota Vios yang berkunci.
“Operasi menyelamat kemudian dijalankan dan pasukan penyelamat menggunakan peralatan khas bagi membuka pintu kereta.
“Kedua-dua kanak-kanak itu yang berada dalam keadaan baik kemudian diserahkan kepada bapanya sebelum operasi dilaporkan tamat,” katanya.
Menurutnya, pihak bomba difahamkan sebelum kejadian bapa kanak-kanak itu dikatakan meninggalkan dua anaknya di dalam kereta dalam keadaan enjin masih hidup dan tingkap diturunkan sedikit.
“Kanak-kanak itu ditinggalkan sekitar 20 minit dan sekembalinya ayahnya ke kereta selepas membeli juadah berbuka didapati tingkap keretanya tertutup selain dua anaknya sedang tidur.
“Ayahnya cuba memanggil dan mengejutkan anaknya namun kedua-duanya mereka tidak sedar, susulan itu lelaki terbabit kemudian menghubungi pasukan bomba bagi mendapatkan bantuan,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.