Bomba bantu pindah wanita 150 kg sedang kuarantin
AYER MOLEK 26 Jun – Seorang wanita seberat kira-kira 150 kologram (kg) yang sedang menjalani kuarantin COVID-19 di rumahnya di Rumah Awam Ayer Molek dan terpaksa dipindahkan ke Hospital Melaka dengan bantuan bomba berikutan mengalami sesak nafas.
Ketua Cawangan Pengurusan Operasi dan Balai, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka, Zulkhairani Ramli berkata, pihaknya menerima panggilan daripada petugas kesihatan Hospital Melaka memohon bantuan berhubung kejadian itu pada jam 1.19 tengah hari tadi.
Katanya, setibanya di lokasi kejadian, anggota bomba mendapati wanita berusia 49 tahun seberat 150 kg itu mengalami sesak nafas dan perlu segera dipindahkan ke Hospital Melaka untuk pemeriksaan dan pemantauan lanjut.
“Berikutan itu, dengan kekuatan tiga anggota bomba yang lengkap berpakaian set pelindung diri (PPE), mereka mengangkat mangsa menggunakan kerusi roda.
“Mangsa kemudian dibawa menaiki sebuah lori sebelum dibawa ke hospital yang jaraknya kira-kira 12 kilometer dari kawasan perumahan itu,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Mengulas lanjut beliau berkata, difahamkan wanita terbabit masih belum disahkan positif COVID-19 namun diarahkan menjalani kuarantin di rumah.
“Bagaimanapun, pasukan mengambil langkah perlindungan maksimum bagi mengelakkan risiko penularan dan operasi memindahkan wanita itu selesai sekitar jam 2.10 petang,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.