‘BOLEH TUNTUT MYKID, BEKALAN SUDAH ADA’
AYER KEROH 9 Oktober – Ibu bapa atau penjaga seluruh Melaka yang melakukan permohonan kad pengenalan kanak-kanak (MyKid) sebelum ini sudah boleh menuntut dokumen pengenalan diri itu.
Timbalan Ketua Pengarah Pendaftaran Negara (Pengurusan) Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Faizah Jaarudin berkata, sebelum ini pengeluaran dokumen pengenalan diri MyKid mengalami kelewatan berikutan masalah tertentu yang melibatkan permohonan bagi seluruh negara termasuk di Melaka.
Katanya, setakat ini kira-kira 30 peratus MyKid yang sudah siap diproses di pejabat JPN seluruh negara belum dituntut oleh ibu bapa atau penjaga kanak-kanak.
“Alhamdulillah untuk MyKid kita sudah dapat bekalan, kepada pihak berkenaan (ibu bapa) yang pernah mohon boleh tuntut kad pengenalan anak-anak mereka, semakan juga boleh dilakukan menerusi portal JPN.
“Isunya sekarang mereka yang memohon sebelum ini belum tampil untuk menuntut MyKid, jadi kepada yang belum berbuat demikian diminta tampil segera ke pejabat JPN berkenaan,” katanya pada sidang media pada sidang media selepas Program Hari Pendaftaran Negara Yang Ke-76 Peringkat JPN Negeri Melaka dan Pertandingan Akhir Pidato JPN Tahun 2024 di Auditorium Kompleks Kementerian Dalam Negeri Ayer Keroh, hari ini.
Hadir sama Pengarah JPN Melaka, Norazle Sulaiman.
Dalam pada itu, beliau berkata JPN Melaka turut menyediakan seramai 120 kakitangan bagi melaksanakan tanggungjawab menguruskan para pelanggan di negeri ini.
“Kakitangan ini akan memastikan segala urusan menyediakan dokumen pengenalan diri rakyat di negeri ini berada pada tahap terbaik,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.