Boleh jimat RM140 sebulan dengan bertani

Masa Membaca:1 Minit, 43 Saat

KLEBANG 26 September – Program Pembangunan Pertanian Komuniti dan Pertanian Bandar akan diperkasa di negeri ini dalam membantu rakyat mengurangkan kos perbelanjaan dapur.

Timbalan Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri Low Chee Leong berkata, program dikelolakan Jabatan Pertanian itu merupakan sebahagian daripada agenda menyokong sekuriti makanan negara.

Katanya, melalui program tersebut, ia disasarkan dapat mengurangkan kos isi rumah sebanyak RM1,680 setahun menjelang tahun 2025, iaitu meningkat berbanding sasaran penjimatan RM1,296 pada 2021.

“Ia bermaksud purata penjimatan bulanan menerusi program ini ialah sebanyak RM140 sebulan jika orang ramai atau komuniti memanfaatkannya untuk mendapatkan sumber bahan makanan (sendiri).

“Pertanian ini bukan hanya tertumpu luar bandar yang memerlukan kawasan tanah yang luas sahaja, tetapi dengan adanya pertanian bandar seperti hidroponik dan lain-lain ia juga dapat membantu sekuriti makanan.

“Jadi saya menggalakkan rakyat di negeri ini terlibat dengan pertanian bagi membantu menjimatkan kos sara hidup masing-masing, selain tidak lagi terlalu bergantung kepada hasil import makanan dari luar negara,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Sambutan Hari Ladang dan Program Pertanian Bandar Peringkat Daerah Melaka Tengah di Masjid Al Aminin, Batang Tiga, di sini, hari ini.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Klebang Datuk Lim Ban Hong dan Pengarah Pertanian Negeri Melaka Rozli Azizi Talib.

Dalam pada itu, Chee Leong yang juga Adun Kota Laksamana turut menyarankan agar setiap Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) di negeri ini mengusahakan apa jua tanaman di kawasan masing-masing bagi membantu meningkatkan hasil pertanian di negeri ini.

“Terpulang kepada setiap JPKK untuk mengusahakan apa jua tanaman. Fokus sudah tentulah lebih terarah kepada JPKK yang terletak di kawasan luar bandar atau pinggir bandar.

“Namun, bagi JPKK di kawasan bandar, mereka boleh mewujudkan projek pertanian bandar di kawasan masing-masing,” katanya.

Dalam pada itu, Chee Leong memaklumkan di daerah Melaka Tengah, seramai 1,817 petani telah direkodkan berdaftar dengan Jabatan Pertanian setakat tahun 2022.

Katanya, daripada jumlah tersebut, sebanyak 10,100 tan metrik hasil pertanian telah dipasarkan dengan nilai keseluruhan berjumlah RM20.23 juta.

 

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1004
Kongsi :
Previous post Ingat talian hotline 997 elak kena ‘scam’
Next post 1,843 anggota, pesara polis terima Pingat Jasa Pahlawan Negara
Ubah saiz-+=