Sorting by

×

BOLEH BUKA KOLAM PANCING, TAPI..

Masa Membaca:1 Minit, 47 Saat

KUALA LINGGI 12 Januari – Mana-mana pengusaha yang ingin membuka perniagaan kolam pancing ikan di negeri ini perlu mendapatkan lesen dan kelulusan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

Ia susulan kompaun yang dikeluarkan ke atas sebuah kolam memancing ikan di Jasin yang gagal mendapatkan kelulusan dan lesen daripada PBT, selain mendapat bantahan orang awam.

Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin berkata, Kerajaan Negeri sentiasa mengalu-alukan pembukaan perniagaan berkonsep riadah seperti memancing di negeri ini, namun segala syarat yang ditetapkan perlulah dipatuhi setiap pengusaha.

Beliau berkata, dengan adanya lesen dan kelulusan daripada agensi berkaitan, ia secara tidak langsung dapat meningkatkan keyakinan pemancing dan orang ramai, khususnya dalam aspek keselamatan.

“Untuk perniagaan kolam pancing ini, setiap pembinaan mahupun pengorekan yang dijalankan perlulah mendapatkan kebenaran agensi-agensi terlibat dan lesen perniagaan itu akan dikeluarkan oleh PBT.

“Jadi, saya berharap kepada sesiapa yang mahu mengusahakan kolam pancing ikan, patuhilah syarat-syarat yang ditetapkan dan pada kolam yang sudah beroperasi tapi belum mendapat kelulusan atau lesen, kita masih memberi kelonggaran, namun mereka perlulah segera datang ke PBT terlibat untuk berbincang dan mendapatkan lesen yang sah.

“Prosesnya tidak sukar, namun pemilik perlu memastikan perniagaan yang diusahakan itu tidak menimbulkan kacau ganggu jika terletak di kawasan perumahan dan faktor parkir kenderaan juga perlu diambil kira,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini selepas mewakili Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh merasmikan Kolam Memancing Air Masin Telok Belanga dan Pertandingan Memancing DUN Kuala Linggi, di sini, hari ini.

Hadir sama, Exco Belia, Sukan dan NGO negeri Datuk VP Shanmugam; Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kuala Linggi Datuk Rosli Abdullah; Pegawai Daerah dan Tanah Alor Gajah Datuk Sabrina Thalas; Yang Dipertua Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) TPr. Saifuddin Abdul Karim dan lain-lain kenamaan.

Dalam pada itu, Rais memuji usaha dan inisiatif Kolam Memancing Air Masin Telok Belanga yang beroperasi dengan mematuhi syarat, selain turut mendapatkan lesen dan kelulusan daripada MPAG.

Beliau berkata, kolam memancing itu secara tidak langsung berjaya satu tarikan pelancongan di kawasan Kuala Linggi dan pada masa sama dapat meningkatkan ekonomi setempat.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

124
Kongsi :
Previous post BANGUNAN BAHARU SUNTIK SEMANGAT REJIMEN 514 ASKAR WATANIAH
Ubah saiz-+=