BNM ada hak, kuasa tentukan OPR tanpa campur tangan kerajaan – PM Anwar
KUALA LUMPUR, 4 Jan – Bank Negara Malaysia (BNM) mempunyai hak dan kuasa dalam membuat keputusan berkaitan dengan Kadar Dasar Semalaman (OPR) tanpa perlu membabitkan campur tangan kerajaan bagi memastikan kestabilan ekonomi negara.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata hak dan kuasa yang memberi kesan kepada ekonomi negara telah diberi pengkhususan masing-masing seperti yang termaktub dalam peraturan dan undang-undang Malaysia.
“(Perubahan berhubung) OPR adalah keputusan Bank Negara (Malaysia) dan bukan Kementerian Kewangan. Kalau nak bincang, saya boleh bincang. Tapi itu adalah ‘wewenang’ (hak dan kuasa) Bank Negara Malaysia,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat Kabinet hari ini.
Anwar berkata demikian sebagai menjawab soalan berhubung impak dan tindakan oleh Kementerian Kewangan susulan jangkaan kenaikan OPR sebanyak dua kali oleh BNM.
Menurutnya, BNM diberi mandat untuk mempromosikan kestabilan monetari dan kewangan yang kondusif untuk pertumbuhan ekonomi Malaysia yang berterusan.
Sehubungan itu, Anwar yang juga merupakan Menteri Kewangan berkata satu perbincangan bersama melibatkan Gabenor BNM Tan Sri Nor Shamsiah Mohd Yunus dan Menteri Ekonomi Mohd Rafizi Ramli akan dilakukan sebelum merangka Belanjawan 2023.
“Saya undang Gabenor Bank Negara (Malaysia), Menteri Ekonomi untuk berbincang sekali.
“Saya ingat pendekatan ini yang saya pernah lakukan dulu. Saya tidak asing, kerana tindakan mana-mana pihak itu akan juga melibatkan dasar ekonomi keseluruhannaya,” katanya.
Anwar dijadual membentangkan Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat pada 24 Februari depan pada Sidang Pertama Parlimen ke-15.
— BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.