![Pilihan Raya Kecil (prk) N.23 Chini](https://www.melakahariini.my/wp-content/uploads/2020/07/chini_mohd_sharim_md_zain_200620d.jpg)
BN menang besar PRK Chini
PEKAN, 4 Julai – Barisan Nasional (BN) berjaya mengekalkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini dengan kemenangan besar pada pilihan raya kecil (PRK) DUN itu hari ini.
Calonnya Mohd Sharim Md Zain, 41, menang dengan majoriti 12,650, selepas memperoleh 13,872 undi, manakala pencabarnya dua calon Bebas iaitu Tengku Datuk Zainul Hisham Tengku Hussin, 64, meraih 1,222 undi dan Mohd Shukri Mohd Ramli, 49, mendapat 137 undi.
Keputusan itu diumumkan Pegawai Pengurus Pilihan Raya Datuk Zaliza Zulkipli di pusat penjumlahan undi rasmi di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Pekan dekat sini pada 9.04 malam.
Zaliza berkata terdapat hanya 239 kertas undi yang ditolak, 36 kertas undi tidak dikembalikan selepas semua 13 pusat mengundi ditutup pada 5.30 petang tadi, dengan peratusan keluar mengundi yang direkodkan adalah 74 peratus (15,231 pengundi)
Majoriti diraih Mohd Sharim itu melebihi dua kali ganda daripada jumlah majoriti yang pernah diraih penyandangnya sebelum ini Datuk Seri Abu Bakar Harun daripada BN iaitu 4,622 undi, pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14)
DUN Chini mempunyai 20,990 pengundi, terdiri daripada 10,269 pengundi lelaki dan 10,721 pengundi wanita.
Ini merupakan kemenangan keenam buat BN daripada 11 PRK yang diadakan selepas PRU14 pada 9 Mei 2018.
BN sebelum ini menang di Parlimen Cameron Highlands, DUN Semenyih, DUN Rantau, Parlimen Tanjung Piai dan Parlimen Kimanis.
-BERNAMA