BN dan PN belum capai formula elak tiga penjuru?

Masa Membaca:1 Minit, 26 Saat

AYER KEROH 11 Okt. – Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) didakwa masih gagal mencapai formula bagi mengelakkan pertembungan tiga penjuru pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, kata bekas Ketua Menteri Melaka, Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik.

Menurutnya, beliau menerima maklumat kedua-dua pimpinan parti masih belum mencapai kesepakatan bagi menentukan kerjasama itu.

Bekas Ketua Menteri Melaka, Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik

“Saya dapati makluman yang kita terima kedua-dua parti ini terutama oleh Pengerusi BN dan PN nampaknya belum ada satu kemungkinan boleh merundingkan satu formula yang dapat diterima oleh kedua-dua pihak.

“Masing-masing tidak dapat terima syarat-syarat dan kandungan yang akan dibincangkan itu. Jadi saya fikir untuk pertama kali dalam sejarah politik Negeri Melaka, PRN akan datang ini akan ditandingi oleh tiga parti yang besar ini iaitu PN, BN dan PH.

“Saya percaya pertembungan itu boleh diterima oleh rakyat, disebabkan ia merupakan satu peluang bagi rakyat untuk memilih kerajaan yang mereka ingini dari banyak pilihan parti,” katanya.

Mengulas lanjut, Abdul Rahim berkata, menerusi pilihan raya berkenaan, rakyat diberi mandat untuk membuat penilaian berdasarkan prestasi ditunjukkan wakil rakyat daripada parti masing-masing.

“Sekurang-kurangnya tiga pilihan di situ dan rakyat boleh membuat penilaian yang baik antara ketiga-tiga parti dari segi prestasi, rekod kerja, integriti serta komitmen, yang mana akan menjadi pertimbangan rakyat untuk memilih.

“Mungkin untuk negeri ini dan negara, kita mungkin boleh memilih satu parti yang lebih dominan daripada apa yang berlaku sekarang.

“Apa yang berlaku sekarang tidak dominan kerana semua parti mempunyai majoriti yang kecil, menyebabkan kerajaan menjadi lemah dan tidak stabil,” katanya ketika ditemui pemberita di sini, hari ini.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

359
Kongsi :
Previous post Jangan leka, amal kawalan kendiri- Muhyiddin
Next post Pemuda UMNO Hang Tuah Jaya lapor polis dakwaan Idris
Ubah saiz-+=