BN akan beri sokongan usul undi percaya PM – Ahmad Zahid
KUALA LUMPUR, 27 November – Barisan Nasional (BN) memutuskan akan menyokong usul undi percaya kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang akan dibentang pada persidangan Parlimen 19 Dis ini.
Pengerusinya Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata ia adalah bagi memastikan keabsahan perdana menteri dimuktamadkan dan seterusnya menghentikan segala pertikaian yang dibangkitkan sesetengah pihak.
“Walaupun ada pihak mengatakan ini (undi percaya) langkah berisiko Perdana Menteri baharu, namun inilah proses demokrasi yang perlu dilalui dan BN akan terus menyokong penuh sebagai tanda menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong bagi menyokong pembentukan kerajaan baharu ini,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Anwar dalam sidang media sulung selepas mengangkat sumpah jawatan Perdana Menteri ke-10 pada Khamis lepas berkata persidangan Parlimen ke-15 yang pertama akan diadakan pada 19 Dis ini, dan satu usul undi percaya akan dibentangkan pada sidang itu bagi menamatkan soal keabsahan beliau selaku perdana menteri.
Sementara itu, Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO berkata keputusan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dalam soal pelantikan perdana menteri tidak perlu lagi dipertikai, malah perlu dihormati.
“Marilah kita bersama-sama menjunjung titah dan menghormati perkenan pelantikan oleh Yang di-Pertuan Agong berdasarkan Perlembagaan negara. Kita perlu bergerak ke depan dan bersama-sama membina negara ke arah kemakmuran dan kestabilan,” katanya.
— BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.