Sorting by

×

BMT ringankan beban pekebun kecil dan penoreh getah

Masa Membaca:1 Minit, 50 Saat

AYER LIMAU 17 Dis. – Pekebun kecil dan penoreh getah yang terkesan akibat musim tengkujuh sekarang terpaksa menerima hakikat kehidupan mereka semakin tertekan.

Bagaimanapun, mereka masih mampu menarik nafas lega berikutan Bantuan Musim Tengkujuh (BMT) yang disediakan kerajaan meringankan beban itu.

Hujan sebelah malam dan awal pagi sejak empat hari lalu di kebanyakan kawasan di Melaka meresahkan mereka tetapi BMT membolehkan mereka mengukir senyuman.

Ketidakmampuan menoreh akibat pokok getah basah yang menyebabkan susu getah tidak mengalir tepat ke dalam mangkuk susu, membuatkan mereka terpaksa menerima hakikat kehidupan semakin terhimpit.

Bagaimanapun, bayaran pertama BMT sebanyak RM300 yang diterima sejak 7 Disember lalu sedikit sebanyak meringankan bebanan mereka melalui tempoh yang sukar kerana tidak mampu menoreh.

Bagi pekebun kecil Kamarul Ariffin Abu Mansor, 78, walaupun jumlah bayaran itu tidak lumayan, sekurang-kurangnya ia mampu meringankan beban kewangan akibat kebun getah seluas dua hektar tidak dapat ditoreh.

“Alhamdulillah, saya bersyukur kepada Allah dan berterima kasih kepada kerajaan kerana menyediakan BMT yang sedikit sebanyak membantu meringankan beban untuk menjalani kehidupan harian.

“Sudah empat hari orang yang mengambil upah menoreh di kebun saya tidak dapat buat kerja kerana hujan tetapi alhamdulillah, BMT dapat membantu,” katanya ketika ditemui di Kampung Sungai Jerneh, Lubok Cina di sini hari ini.

Abdul Ghaffar Mohd Ali, 47, berkata, meskipun bagi sesetengah pihak, RM300 bukanlah jumlah yang besar, sekurang-kurangnya ia membantu membolehkannya mendapatkan barangan keperluan harian untuk keluarga.

“RM300 bagi orang yang berpendapatan tinggi, tidak ada apa-apa tetapi bagi saya, besar maknanya kerana dengan wang itu, saya dapat menyediakan bahan makanan untuk keluarga,” katanya.

Pengerusi Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) Datuk Mohd Salim Mohd Sharif dilaporkan berkata, bayaran pertama BMT 2020 sebanyak RM300 dimasukkan ke dalam akaun pekebun kecil dan penoreh getah yang berdaftar dengan agensi itu mulai 7 Disember lalu.

Bantuan untuk 237,207 pekebun kecil dan penoreh itu adalah sebanyak RM600 seorang dan baki RM300 akan dikreditkan pada Januari depan.

BMT 2020 diberikan kepada pekebun kecil dan penoreh getah yang mengusahakan keseluruhan tanah tidak melebihi 2.5 hektar.

Penerima paling ramai ialah di Sarawak seramai 58,048 orang dan diikuti Kelantan (49,328 orang) dan Kedah (45,297 orang).

Bagi mereka yang belum memohon, RISDA masih membuka peluang hingga 31 Disember ini.

Views:

1305
Kongsi :
Previous post Nur Aimi Nadiah masih koma, belum tahu kematian tiga anak
Next post Kes COVID-19 dunia lepasi 74 juta
Ubah saiz-+=