BMS 2024: PELUANG IBU BAPA JADI ‘SUPERHERO’ ANAK-ANAK

Masa Membaca:3 Minit, 24 Saat

BANDA HILIR 2 Oktober – Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) Melaka mengajak ibu bapa untuk mengamalkan perancangan penabungan pendidikan untuk masa depan anak-anak.

Pengarah PTPTN Negeri Melaka, Mas Anisah Ayu Othman berkata ia bersempena Program Bulan Menabung Simpan Skim Simpanan Pendidikan Nasional (BMS SSPN) 2024 yang bertemakan Fantasi sempena Hari Impian Sedunia dengan tagline ‘Jom Jadi Superhero Anak Anda’.

Menurutnya, program tersebut telah dilaksana oleh PTPTN sejak 2018 sebagai salah satu pengisian bagi mempromosikan produk simpan SSPN sebagai pilihan utama masyarakat untuk membuat penabungan di samping menikmati pelbagai keistimewaan dan manfaat yang disediakan.

“BMS 2024 berlangsung secara serentak di 14 buah negeri pada 28 September 2024 dan di Negeri Melaka, BMS telah diadakan di Pentas Utama, Mahkota Parade.

“BMS 2024 menampilkan tema fantasi bersempena Hari Impian Sedunia yang disambut pada 25 September pada setiap tahun dengan mengekalkan tagline BMS sebelum ini iaitu “Jom Jadi Superhero Anak Anda”

“Jom Jadi Superhero ini mengajak ibu bapa agar menjadi adiwira untuk anak-anak dalam konteks penabungan agar anak-anak berjaya melanjutkan pengajian tanpa masalah kewangan,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Whatsapp Image 2024 10 02 At 14.48.15
MAS Anisah Ayu ketika menyampaikan hadiah kepada pemenang pertandingan mewarna peringkat tadika pada Majlis Perasmian BMS Melaka 2024.

BMS 2024 DI MELAKA

Mas Anisah Ayu berkata, BMS 2024 menyajikan pelbagai aktiviti menarik untuk seisi keluarga antaranya Pertandingan Mewarna Simpan SSPN; Simpan SSPN Got Talent; Pakaian Beragam Simpan SSPN; Jenga Family Competion Simpan SSPN; Kuiz Simpan SSPN; Happy Hour dan Badut serta Silap Mata.

Jelasnya, PTPTN turut mengadakan Cabutan Siri WOW! Superheroes dengan hadiah keseluruhan bernilai RM100,000 menanti 181 pemenang sehingga 31 Oktober.

Ujarnya, hadiah utama menawarkan RM10,000 untuk seorang pemenang dan hadiah saguhati berjumlah RM500 untuk setiap 180 pemenang.

Jelasnya, orang ramai turut digalakkan menyertai kempen Cabutan WOW! Simpan SSPN 2024 yang menawarkan hadiah lumayan lebih RM1.3 juta kepada 983 pendeposit Simpan SSPN untuk tempoh 12 bulan berakhir hingga 31 Disember ini.

“Untuk menyertai Cabutan WOW! Simpan SSPN 2024 dan Cabutan Siri WOW! SSPN 2024, pendeposit hanya perlu membuka akaun atau membuat penambahan simpanan dalam tempoh kempen.

“Setiap simpanan bersih RM50 bagi Simpan SSPN Prime akan mendapat satu cabutan, manakala bagi setiap simpanan bersih RM50 (simpanan + takaful) bagi Simpan SSPN Plus layak mendapat dua cabutan secara automatikLebih menarik lagi dan kempen kali ini turut memberi kelebihan kepada pengguna aplikasi myPTPTN yang akan mendapat bilangan cabutan berganda,” katanya.

MANFAAT BUAT IBU BAPA, ANAK

Dalam pada itu, Mas Anisah Ayu berkata, antara manfaat dan keistimewaan kepada ibu bapa untuk menjadi superhero kepada anak-anak adalah ia membantu ibu bapa merancang kewangan awal kanak-kanak.

Tambahnya, Simpan SSPN menyediakan pelbagai keistimewaan dan manfaat yang memberikan pelbagai peluang kejayaan untuk anak-anak.

“Simpan SSPN merupakan satu-satunya produk simpanan yang menawarkan manfaat pelepasan taksiran cukai pendapatan ke atas simpanan sehingga RM8,000 setahun. Ia merupakan insentif istimewa kepada pendeposit Simpan SSPN yang memberikan kelebihan berbeza berbanding produk simpanan lain di pasaran.

“Simpan SSPN Prime juga menawarkan manfaat perlindungan takaful percuma ke atas pendeposit. Inilah keistimewaan Simpan SSPN Prime yang memberikan manfaat perlindungan takaful percuma secara Ringgit ke Ringgit kepada pendeposit yang mempunyai simpanan RM1,000 dan ke atas sekiranya berlaku kematian atau ilat kekal menyeluruh kepada mereka,” jelasnya.

Whatsapp Image 2024 10 02 At 14.53.36
IBU bapa mengambil kesempatan membuka Simpan SSPN untuk masa depan anak-anak di reruai PTPTN yang dibuka pada BMS 2024 Peringkat Negeri Melaka.

PTPTN PLATFORM SIMPANAN MASA DEPAN

Menurut Mas Anisah Ayu, PTPTN adalah tabung pendidikan untuk anak-anak di mana ibu bapa boleh menjadikan Simpan SSPN sebagai platform simpanan untuk pendidikan.

Jelasnya, ia juga merupakan pilihan bijak ibu bapa untuk anak-anak yang mana menerusi PTPTN juga boleh dibuka satu akaun Simpan SSPN untuk satu keluarga.

“PTPTN juga menggalakkan semua rakyat Malaysia mempunyai satu akaun Simpan SSPN satu keluarga kerana terdapat pelbagai keistimewaan dan manfaat yang ditawarkan melalui simpanan ini.

“Orang ramai disaran merebut peluang ini kerana pembukaan akaun dan penambahan deposit Simpan SSPN boleh dibuat secara dalam talian dengan lebih mudah, cepat dan selamat menerusi myPTPTN,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

69
Kongsi :
Previous post 300 TAN METRIK AYAM ‘TERBANG’ KE SABAH
Next post MELAKA HAMPIRI SASARAN KUTIPAN ZAKAT 2024
Ubah saiz-+=