Sorting by

×

Blok bangunan di Resort The Andaman musnah terbakar dua kali

Masa Membaca:1 Minit, 1 Saat

LANGKAWI, 13 Jan – Sebuah blok bangunan di resort lima bintang, The Andaman, a Luxury Collection Resort, di Jalan Teluk Datai, kira-kira 40 kilometer dari Bandar Kuah dekat sini musnah dalam kebakaran yang berlaku dua kali, semalam dan awal pagi tadi.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah berkata kejadian pertama berlaku, pada kira-kira 4 petang semalam sebelum kebakaran berulang di lokasi sama, pada 1.13 awal pagi tadi.

Beliau berkata anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Langkawi dan Persiaran Putra dikejarkan ke lokasi kejadian bagi melakukan kerja-kerja pemadaman.

“Blok bangunan tersebut terbakar hampir keseluruhannya disebabkan faktor cuaca angin kencang… kebakaran pertama berjaya dikawal pada kira-kira 10 malam.

“Namun, pada 1.13 pagi tadi, bomba sekali lagi menerima panggilan kecemasan sebelum anggota ke lokasi sama untuk memadam kebakaran kedua,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

“Setakat pagi ini, operasi pemadaman masih dilakukan. Anggota bertugas mengalami masalah bekalan air dan akses untuk melakukan pemadaman di bahagian yang terbakar.

“Anggota melakukan pemadaman melalui cara fire break di sayap selatan dan sayap utama bangunan tersebut menggunakan satu aliran dua pancutan 100 kaki air daripada air tangki jentera,” menurutnya dalam kenyataan itu.

Sehingga berita ini ditulis, operasi pemadaman masih dijalankan, katanya.- BERNAMA

Views:

940
Kongsi :
Previous post Lokasi pelancongan popular kembali ‘sepi’
Next post Taska, Tadika dibenar operasi tetapi perlu dapat kebenaran – Latipah
Ubah saiz-+=