Sorting by

×

BISTARI SANTUNI ANAK-ANAK ISTIMEWA KEM TERENDAK

Masa Membaca:1 Minit, 5 Saat

SUNGAI UDANG 8 Februari – Seramai 32 anak-anak istimewa dari Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) Ummi, Kem Terendak, di sini, disantuni Badan Amal Kebajikan Isteri Wakil-Wakil Rakyat Negeri Melaka (BISTARI) bersama Badan Kebajikan Keluarga Angkatan Tentera (BAKAT).

Kunjungan pada Majlis Penyampaian Sumbangan Kebajikan BISTARI/BAKAT kepada Anak-Anak Tentera itu diketuai Pengerusi BISTARI, Datin Seri Utama Datuk Wira Zuriyah Ab. Aziz bersama barisan jawatankuasa dan ahli-ahli BISTARI.

Pada majlis itu, Zuriyah telah menyampaikan sumbangan berupa barangan keperluan asas dan wang tunai kepada anak-anak istimewa di PDK berkenaan.

Beliau dan ahli-ahli BISTARI turut meluangkan masa melawat ke kelas dan bilik terapi yang melatih anak-anak istimewa PDK Ummi Kem Terendak.

Seusai itu, Zuriyah bersama ahli BISTARI turut menyempurnakan penyampaian sumbangan kepada pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bertempat di Rumah BAKAT 3 Div Kem Terendak.

Penyampaian sumbangan kebajikan yang disusun itu merupakan sebahagian daripada pengisian bersempena Kejohanan Sukan Dua Jiwa Satu Hati dan Sukan Badan Beruniform Piala Ketua Menteri Melaka 2025.

Kejohanan sukan itu telah berlangsung sejak 1 Februari lalu dengan mempertandingkan enam acara sukan iaitu bola sepak, sepak takraw, bola jaring, futsal, badminton dan golf membabitkan pelbagai lokasi dalam Kem Terendak.

Ia disertai lebih 3,000 peserta membabitkan 11 badan beruniform seluruh Melaka.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

69
Kongsi :
Previous post PEMENANG ANUGERAH PEMBANGUNAN MELAKA JADI ‘ROLE MODEL’ AGENSI DAN JABATAN
Next post TELEVISYEN, PAKEJ PERCUTIAN MENANTI PENGUNJUNG BERTUAH RUMAH TERBUKA