Biskut raya dijangka naik harga
MERLIMAU 11 Februari – Kurang dua bulan kedatangan bulan Ramadan, ada dalam kalangan pengusaha biskut raya di negeri ini sudah menutup tempahan berikutan risau gagal disiapkan mengikut waktu dijanjikan selain faktor kenaikkan harga barangan mentah.
Katanya meskipun berlaku kenaikan harga barangan mentah selain kekerapan kekurangan bekalan telur di pasaran, namun masyarakat di Negeri Melaka membuat tempahan awal biskut raya untuk dihidangkan kepada tetamu pada Aidilfitri nanti.
“Kebiasaanya saya mengambil tempahan untuk pra raya, misalnya untuk tahun ini saya jangka akan menjual tiga jenis biskut. Jadi untuk ketiga-tiga biskut ini saya akan buka untuk tempahan.
“Bagi biskut pra raya ini saya sudah jual lebih 200 botol sejak tiga minggu lalu. Ini sebagai persediaan selain beri peluang kepada pelanggan untuk merasa,” katanya yang akan menjual Biskut Y Legend, Cranberry Chasnut Cookies dan Cornflake Caramel Gula Melaka.
Nurhidayah, 30, berkata, bagi menjaga kualiti dan mengelakkan berlaku tempahan yang terlalu banyak dia akan mengehadkan tempahan diterima pada setiap tahun.
“Sebagai homebaker kecil-kecilan saya tidak berani untuk mengambil jumlah tempahan dalam jumlah yang besar. Paling banyak yang pernah diambil sebanyak 1,200 bekas dan tahun lalu 800 botol sahaja untuk satu jenis biskut sahaja iaitu Biskut Y Legend,” katanya.
Menurutnya, kenaikan harga barangan secara tidak langsung memberikan tempias apabila dia terpaksa menaikkan harga jualan untuk kek dan biskut raya.
“Saya mula membuat kuih raya dan kek sejak 2014 namun baru-baru ini terpaksa menghentikan operasi selama dua tahun kerana mengikut suami dan apa yang membuatkan saya agak terkejut harga bahan seperti mentega naik sekali ganda, memang ketara.
“Homebaker, kami beli dalam skala yang kecil jadi agak terasa dan disebabkan itu harga jualan terpaksa dinaikkan sekitar RM1 hingga RM2 untuk sebekas.
“Itulah walaupun berlaku kenaikan harga barangan dan harga jualan namun tempahan biskut raya tetap kami terima. Kuih raya ini bagaikan pelengkap di hari lebaran jadi sudah pasti akan dicari malah ia ada penggemar tersendiri,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.