‘Bisikan masa kau belum tiba’ kejutan pesakit COVID-19 tahap 5

Masa Membaca:2 Minit, 27 Saat

BUKIT KATIL 3 Okt. – “Masa kau belum tiba!” Itu suara bisikan yang terngiang di telinga bekas pesakit COVID-19 tahap 5, Ahmad Khairush Syakirin Zaid, 39, sebelum tersedar dari ditidurkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Melaka, kira-kira tiga bulan lalu.

Pengurus bengkel kereta di Taman Bukit Katil itu berkata, sebaik mendengar bisikan yang dipercayai dari suara arwah bapanya itu, dia terus tersedar dan bingung mengenai apa sebenarnya yang berlaku.

Katanya, beberapa minit selepas itu, barulah dia menyedari tersedar selepas tiga atau empat hari ditidurkan dan terpaksa bergantung kepada bantuan alat pernafasan.

Bapa kepada empat anak itu berkata, pengalaman pada awal Julai lalu itu dianggap seperti mati hidup kembali dan menjadi memori yang akan terus dikenang sepanjang hayatnya.

10 wakil PSM dan Jabatan Rawatan Rapi Hospital Melaka menziarahi dan menyampaikan sumbangan kepada bekas pesakit COVID-19 kategori 5, Ahmad Khairush Syakirin Zaid, 39 di bengkel keretanya di Taman Bukit Katil.

“Sepanjang ditidurkan memang saya rasa seperti berada di alam lain. Adakalanya saya seperti berjumpa arwah ayah dan abang saya dan adakalanya merasai seperti sedang dibacakan Yassin.

“Sebelum doktor beritahu saya akan ditidurkan memang saya reda kerana peluang saya untuk selamat mungkin 50-50.

“Tetapi isteri, anak-anak dan keluarga menjadi sumber kekuatan saya. Alhamdulillah, saya dikelilingi insan baik yang banyak memberi semangat kepada saya.

“Semangat itulah membuatkan saya untuk terus kuat dan akhirnya saya terselamat dan kini dapat menjalani kehidupan seperti biasa,” katanya yang ditemui selepas diziarahi Kelab Rawatan Kesakitan Melaka (PSM) dan Jabatan Rawatan Rapi Hospital Melaka di bengkelnya, hari ini.

AHMAD Khairush Syakirin kini kembali menjalani kehidupan seperti biasa dan meneruskan operasi bengkel keretanya di Taman Bukit Katil.

Dalam sesi ziarah itu, Ahmad Khairush Syakirin turut sebak dan mengalirkan air mata apabila menceritakan kembali pengalamannya selama 14 hari di ICU Hospital Melaka.

Katanya, apa yang berlaku itu juga menyedarkannya untuk menghargai insan-insan tersayang dan petugas barisan hadapan yang banyak berkorban jiwa dan raga sepanjang membantu merawatnya ketika itu.

“Banyak pengalaman yang saya lalui di ICU, antara yang tidak boleh saya lupakan ialah melihat rakan-rakan meninggal dunia di depan mata.

“COVID-19 ini bukan mainan, ia benar-benar berlaku. Saya tidak tahu bagaimana boleh dijangkiti, yang saya tahu, badan saya tiba-tiba lemah dan hilang selera makan sebelum disahkan COVID-19 tahap 5 beberapa kemudian,” ujarnya.

Justeru, dia berharap pengalamannya ‘terselamat’ dari wabak maut itu dapat menjadi pengajaran kepada orang ramai terutama dalam mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Pada masa sama, dia turut menyeru orang ramai agar mengambil vaksin sebagai pelindung tambahan daripada wabak berjangkit ini.

“Vaksin bukanlah untuk menghapuskan, tetapi sekurang-kurangnya ia dapat menjadi perisai tambahan daripada komplikasi lebih teruk akibat COVID-19.

“Selain vaksin, kita semua juga perlu mengamalkan pemakanan dan gaya hidup sihat sebagai antara ikhtiar untuk mengurangkan risiko dijangkiti,” katanya lagi.

 

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

3394
Kongsi :
Previous post Remaja jantung injap lembu rayu bantuan
Next post Melaka anjur seminar pegawai kehormat dan bersekutu APM 2021
Ubah saiz-+=