Sorting by

×

Bingkai pintu, dinding berusia lebih 100 tahun tarik perhatian

Masa Membaca:2 Minit, 37 Saat

 

 

 

oleh: Din Ahmad

MASJID TANAH 1 Jun – Sekali pandang, sebuah rumah tradisional di Kampung Pulau, di sini tidak banyak bezanya dengan rumah lain di negeri ini tetapi jika diamati dengan teliti, bingkai pintu dan dinding bahagian hadapan rumah itu menyimpan keunikan seni bina Melayu Melaka berusia lebih 100 tahun.

Rumah tradisional Melaka itu dihiasi dengan bingkai pintu dan dinding bahagian hadapan yang berukir indah hasil ketinggian nilai dan budaya masyarakat Melayu Melaka sekitar tahun 1800.

Rumah pusaka itu dimiliki pengusaha kuih bakar, Effendi Abdul Aziz, 43, daripada ibunya, Allahyarhamah Zainon Tamby yang menjadi pewaris rumah berkenaan daripada ibunya, Mariam Deraman.

Effendi berkata, keindahan seni ukiran berbentuk daun pada bingkai pintu dan dinding berkenaan sering menarik perhatian tukang kayu, terutama generasi yang sudah menjangkau usia lebih 55 tahun kerana ia sudah tidak dibuat lagi oleh tukang rumah sekarang.

“Saya pernah ditawarkan RM7,000 supaya menjual bingkai pintu dan dinding berukir berusia lebih 100 tahun itu tetapi bukan wang yang menjadi tukaran nilai untuk rumah pusaka zaman berzaman.

“Tiada wang ringgit yang mampu menggantikan keunikan dan ketinggian nilai seni ukiran pada kayu bingkai pintu dan dinding hadapan rumah pusaka itu,” katanya ketika ditemui di kediamannya hari ini.

Bagi ahli perniagaan itu, biarlah berapa pun wang ringgit ditawarkan untuk mendapatkan bingkai pintu dan dinding berkenaan, namun dia tetap akan terus memilikinya sebagai pewaris rumah tradisional Melaka milik keluarganya yang berusia lebih 100 tahun.

“Rumah ini diwarisi ibu saya, Allahyarhamah Zainon daripada nenek saya, Mariam Deraman dan selepas arwah ibu meninggal dunia pada tahun 2001, saya mewarisinya dan memeliharanya dengan baik.

“Kayu rumah tradisional ini masih dalam keadaan baik tetapi kami tidak gunakan lagi rumah ibu atau rumah utama, sebaliknya kami tinggal di rumah batu yang kami bina bersambung dengan rumah ibu,” katanya.

Jelasnya, tawaran itu dibuat seorang kontraktor dari Selangor yang secara kebetulan membina sebuah rumah tradisional Melaka tidak jauh dari kediamannya, kira-kira dua tahun lalu.

Katanya, kontraktor berkenaan diberikan tugas membuka rumah itu oleh pewaris rumah terbabit untuk disedekahkan kepada sebuah pusat tahfiz di Selangor dan ketika membuat kerja berkenaan, lelaki terbabit terlihat bingkai pintu dan dinding hadapan rumah tradisional miliknya.

Kontraktor terbabit menawarkan RM7,000 untuk membeli bingkai dan dinding hadapan yang berukuran kira-kira 2.4 meter x 2.4 meter kerana tertarik akan seni ukiran berbentuk daun pada bingkai dan dinding berkenaan.

“Dia menyatakan sukar untuk mendapatkan bingkai pintu dan dinding yang memiliki seni ukiran halus seumpama itu tetapi saya tidak berani untuk membuat keputusan hinggalah saya bertanya mengenai seni itu kepada bapa saudara saya yang bekerja sebagai tukang rumah.

“Bapa saudara saya menyatakan rumah itu dibina oleh nenek kepada nenek saya yang namanya tidak diketahui sekitar tahun 1800,” katanya.

Katanya, keunikan bingkai pintu dan dinding berkenaan turut menarik minat kebanyakan orang yang lalu lalang di halaman kediamannya dan ada yang mengabadikannya dalam gambar kenang-kenangan masing-masing.

Bagi mengekalkan ketahanan kayu pada bingkai dan dinding berkenaan, Effendi sering menyapu minyak khas untuk kayu, selain memastikan bumbung tidak bocor untuk mengelakkan ia terkena hujan.

Selain itu, Effendi yang mempunyai kemahiran bertukang, sudah merobohkan sebahagian daripada serambi atau anjung yang sudah reput untuk digantikan dengan anjung baharu yang lebih kukuh.

Views:

2129
Kongsi :
Previous post Presiden UMW meninggal dunia
Next post Melaka catat kes baharu Covid-19 tertinggi hari ini, babitkan 13 kes import
Ubah saiz-+=