Bina tiga Rumah Transit di Parlimen Alor Gajah
MERLIMAU 17 Julai – Lembaga Perumahan Melaka (LPM) bercadang untuk membina tiga unit Rumah Transit di Parlimen Alor Gajah pada tahun hadapan.
Pengarah Eksekutif Lembaga Perumahan Melaka (LPM), Datuk TPr. Murad Husin berkata Rumah Transit itu dicadangkan untuk dibina di tiga DUN dalam Parlimen Alor Gajah, namun pelaksanaannya bergantung kepada faktor lokasi dan tanah serta beberapa hal lain yang berkaitan.
Jelas beliau, pihaknya mencadangkan perkara itu selepas kemudahan sama siap dibina di Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Bidara, Paya Rumput dan Merlimau.
“Kesemua Rumah Transit DUN akan dibina oleh pihak LPM dan kami akan membaik pulih kerosakan (sekiranya rumah sedia dibina mengalami kerosakan) sebelum diserahkan kepada pihak Japerun terlibat.
“Rumah Transit ini LPM akan lengkapkan dengan keperluan asas rumah antaranya seperti katil; almari pakaian; sofa; pemasangan tikar getah; meja makan dan keperluan dapur yang mana penerima hanya ‘cuci kaki’ ketika berpidah masuk.
“Namun permohonan bagi kemudahan ini hanyalah kepada mereka menjadi mangsa kebakaran, bencana ribut dan sebagainya. Boleh hantar permhonan terus ke LPM atau menerusi Japerun,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini selepas Majlis Penyerahan Kunci Rumah Transit Lipat Kajang DUN Merlimau di Lipat Kajang, di sini, semalam yang disampaikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Merlimau, Dr. Muhamad Akmal Saleh.
Dalam pada itu, beliau turut mengajak pihak swasta untuk sama-sama membantu membangunkan Rumah Transit di kawasan yang bersesuaian.
“Kita juga membuka kepada pihak swasta jika ada yang mahu melaksanakan tanggungjawab sosial korporat (CSR) bersama-sama dengan LPM untuk membina Rumah Transit ini,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.