Sorting by

×

Bina tembok penahan ombak RM9.4 juta

Masa Membaca:2 Minit, 10 Saat

TANJUNG BIDARA 14 Dis. – Masalah hakisan pantai di daerah Alor Gajah, Melaka Tengah dan Jasin akan diatasi melalui pembinaan tembok penahan ombak bernilai RM9.4 juta.

Untuk tujuan itu, sebut harga kerja pembinaan akan dibuka sebelum hujung bulan ini dan kerja akan dimulakan pada Februari 2021.

Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Melaka, Abdul Hakim Hamzah berkata, ia menyediakan peluang untuk kontraktor tempatan melaksanakan kerja pembinaan tembok penahan ombak atau ‘rock revetment’  di beberapa lokasi yang mengalami hakisan teruk sejak hujung Jun lalu.

Bagi daerah Alor Gajah, kerja itu akan dilaksanakan di pantai Kuala Linggi, Kampung Tengah, Kampung Hilir, Kampung Telok Gong dan Tanjung Bidara, katanya.

“Di daerah Melaka Tengah, kerja itu akan dibuat di Pantai Puteri, Tanjung Kling yang semakin teruk terhakis manakala di Jasin adalah di Pantai Siring dan Serkam.
“Dijangka kerja pembinaan membabitkan tempoh sebulan atau lebih,” katanya di sini hari ini.

Beliau berkata, kerja pembinaan tembok itu tidak mampu dibuat sejurus selepas hakisan bermula pada hujung Jun lalu kerana jabatan itu terpaksa berusaha mendapatkan peruntukan daripada Kerajaan Persekutuan dan negeri.

HAKISAN pantai mengancam industri pelancongan di Pantai Puteri, Tanjung Kling.

Sementara itu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Kundor, Datuk Nor Azman Hassan, berkata cadangan JPS itu mampu menyelamatkan industri pelancongan di Pantai Puteri yang diancam hakisan serius sejak Julai lalu.

“Alhamdulillah, saya amat berharap kerja pembinaan tembok itu tidak ditangguhkan kerana selama ini hakisan pantai menyebabkan puluhan pokok ru di tepi pantai tumbang dan menjejaskan pemandangan indah di pantai itu,” katanya.

Beliau berkata, faktor utama hakisan pantai ialah ombak besar yang terhasil apabila angin kencang dari selatan bertiup dari Jun hingga Ogos lalu dan menyebabkan pasir pantai terhakis dan membentuk tebing tinggi di pantai.

Keadaan itu bukan setakat menumbangkan pokok ru, malah menyukarkan pengunjung pantai untuk berkelah dan turun ke gigi pantai untuk mandi-manda, sekali gus mengancam industri pelancongan di pantai berkenaan.

Katanya, sebelum ini JPS sudah membina empat benteng pemecah ombak atau ‘groyne’ untuk mengurangkan hakisan pantai dan kali ini kaedah pembinaan tembok penahan
ombak pula yang akan digunakan bagi mengatasinya.

Nelayan di Kampung Telok Gong, Mohd Reza Sedek, 47, menyambut baik cadangan JPS untuk memulakan kerja berkenaan pada Februari depan bagi menyelamatkan pangkalan nelayan di kampung itu.

“Alhamdulillah, kami bersyukur dengan kesediaan JPS untuk membina tembok penahan ombak kerana kami sudah enam bulan dibelenggu masalah hakisan pantai yang menyebabkan pangkalan nelayan kami musnah.

“Saya berharap JPS dapat memastikan kerja itu dimulakan pada Februari bagi menyelamatkan pangkalan nelayan, balai raya dan Taman Bimbingan Kanak-kanak (TABIKA) Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) yang semakin diancam hakisan yang teruk,” katanya.

Views:

1350
Kongsi :
Previous post UTeM terokai teknologi baharu SCI
Next post Melaka cadang penerbangan terus ke KK, Pulau Pinang
Ubah saiz-+=