Bina tangki besar atasi gangguan bekalan air

Masa Membaca:1 Minit, 36 Saat

PANTAI KUNDOR 26 Jan. – Gangguan bekalan air yang kerap berlaku di tiga kampung, di sini, mampu diatasi dengan pembinaan tangki air besar di Kampung Bukit Darat, Tanjung Kling.

Cadangan itu diutarakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Kundor, Datuk Nor Azman Hassan kepada Ketua Pegawai Operasi (COO) SAMB, Ir Zainal Abidin Abdul Rahman ketika meninjau lokasi berkenaan hari ini.

Menurutnya, dalam tempoh dua bulan lalu dua kali gangguan bekalan air berlaku di Kampung Bukit Darat, Pengkalan Perigi dan Pantai Rombang, membabitkan kira-kira 4,000 penduduk terputus bekalan air.

“Terbaru, gangguan berlaku petang kelmarin hingga petang semalam kerana air dari tangki Bukit Bakul di Tangga Batu berada pada paras terlalu rendah hingga menyebabkan ia tidak mampu disalurkan ke ketiga-tiga kampung itu.

“Air tangki itu tidak mampu menampung keperluan yang semakin meningkat berikutan pertambahan taman perumahan, selain kilang di Kawasan Perindustrian Tangga Batu,” katanya di Kampung Bukit Darat hari ini.

Nor Azman (kanan) dan Zainal Abidin melawat tapak dicadangkan untuk pembinaan tangki air SAMB di Kampung Bukit Darat, Tanjung Kling.

Nor Azman berkata, cadangan berkenaan hanya membabitkan kerja penyaluran air dari tangki Bukit Bakul ke tangki Bukit Darat yang dilengkapi rumah pam dan tidak memerlukan pembinaan Loji Rawatan Air (LRA) baharu.

Sementara itu, penduduk kampung itu, Yusof Abdullah, 54, berkata dia bersyukur apabila pihak SAMB menghantar bekalan air menggunakan lori tangki kepada penduduk terjejas.

“Kami terpaksa menadah air dari lori tangki SAMB petang kelmarin dan pagi semalam akibat gangguan bekalan air yang selalu berlaku di kampung ini dan amat menyukarkan kami menjalani kehidupan harian.

“Kami merayu SAMB segera membina tangki besar itu kerana tidak larat lagi mengangkut air dari lori tangki ke rumah,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi SAMB, Datuk Zaidi Attan ketika dihubungi berkata, beliau akan meminta pegawai SAMB meneliti cadangan berkenaan.

“Selain itu, SAMB akan meneliti dakwaan penduduk bahawa pam ke tangki Bukit bakul sudah uzur dan sering mengalami kerosakan,” katanya.

Views:

1322
Kongsi :
Previous post Wanita sakit ‘tiga serangkai’ selamatkan ibu uzur dalam kebakaran
Next post Tekad Faris rebut tempat dalam kesebelasan utama
Ubah saiz-+=